HAJIJI menyaksikan penyerahan Surat Empowerment berkaitan pelesanan perikanan laut dalam Sabah oleh Ronald Kiandee (kiri) kepada kerajaan negeri Sabah diwakili Jeffrey Kitingan di Dewan Undangan Negeri Sabah. FOTO BERNAMA
HAJIJI menyaksikan penyerahan Surat Empowerment berkaitan pelesanan perikanan laut dalam Sabah oleh Ronald Kiandee (kiri) kepada kerajaan negeri Sabah diwakili Jeffrey Kitingan di Dewan Undangan Negeri Sabah. FOTO BERNAMA
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Kerajaan Persekutuan bersetuju memberi kuasa kepada Sabah dan Sarawak untuk melaksanakan urusan pengeluaran permit serta lesen laut dalam bagi vesel penangkapan ikan Zon C2.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Khas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 18 Oktober lalu.

Menurutnya, dalam proses memberikan kuasa autonomi kepada Sabah dan Sarawak dalam aspek perikanan laut dalam, Perdana Menteri bersetuju memberi kuasa itu kepada Pengarah Jabatan Perikanan Sabah dan Pengarah Jabatan Perikanan Laut Sarawak.

Katanya, ketika ini, pengeluaran lesen vesel dan peralatan menangkap ikan laut dalam di Sabah dilaksanakan melalui perwakilan kuasa oleh Ketua Pengarah Perikanan menurut Akta Perikanan 1985 (Akta 317) kepada Pengarah Perikanan Negeri Sabah.

"Pemberian kuasa ini bermula dengan penerimaan permohonan, pengauditan, penilaian, kelulusan permohonan sehingga pengeluaran permit dan lesen vesel serta peralatan penangkapan ikan laut dalam Zon C2 tertakluk kepada syarat ditetapkan secara bersama.

"Mafi juga sentiasa bersedia mengadakan sesi libat urus dengan Sabah supaya kepentingan pengurusan sektor perikanan negeri ini diambil kira dalam cadangan penambahbaikan kepada Akta Perikanan 1985 [Akta 317] yang mana ia akan dilaksanakan selepas kajian berkenaan penambahbaikan tersebut dimuktamadkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Sesi Penyerahan Surat Pemberian Kuasa Berkaitan Pelesenan Perikanan Laut Dalam Sabah kepada Kerajaan Negeri bertempat di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Dalam pada itu, Ronald berkata, industri perikanan Sabah mempunyai potensi pembangunan yang tinggi dan harus terus dikembangkan.

"Ketika ini, Sabah mempunyai seramai 30,486 nelayan yang menghasilkan sejumlah 206,703 tan metrik ikan setahun dengan nilai melebihi RM1.2 bilion.

"Dalam hal ini, saya yakin Mafi bersama-sama kerajaan negeri dan Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah (MAFS) akan terus membangunkan industri perikanan Sabah sebagai salah satu hab utama perikanan di Malaysia.

"Saya harap keputusan bersama ini dapat memanfaatkan kedua-dua pihak khususnya daripada segi pengurusan sumber perikanan, keselamatan perairan dan hubungan antarabangsa.

"Saya percaya inisiatif kerajaan melalui pemberian kuasa ini akan dapat menjaga kepentingan Sabah dan keharmonian semua sebagai Keluarga Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 12:09 PM