GAMBAR fail, Dewan Rakyat. FOTO NSTP
GAMBAR fail, Dewan Rakyat. FOTO NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Isu mengenai pertindihan kementerian dalam menjaga hal ehwal berkaitan usahawan francais dibahas di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Ia bermula selepas Ahli Parlimen Jempol Datuk Mohd Salim Mohd Sharif membangkitkan perkara itu ketika perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac).

Mengulas mengenai isu itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang menyusun untuk menjadikannya selaras dan memudahkan usahawan.

Katanya, pertindihan itu akan memberi kesan kepada usahawan francais kerana yang menguruskannya adalah Medac, manakala aktanya dikawal KPDNHEP.

"Sama ada Medac menjaganya 100 peratus atau saya sebagai menteri tidak kisah kalau KPDNHEP nak ambil, saya tak kisah.

"Daripada kita berebut, buat apa. Saya terbuka. Francais ini ada dua tauke yang jaga. Saya tak apa, asalkan kepentingan rakyat saya rela, lepaskanlah francais ini kepada KPDNHEP," katanya.

GAMBAR fail, NOH. FOTO Ihsan Parlimen
GAMBAR fail, NOH. FOTO Ihsan Parlimen

Mohd Salim bertanyakan mengenai pertindihan peruntukan dan peranan untuk membangunkan francais antara Medac dan KPDNHEP yang perlu diperbetulkan dengan kadar segera.

Beliau turut mencelah dan meminta penjelasan mengenai kedudukan semasa bilangan koperasi kariah masjid di negara ini.

Menjawab persoalan itu, Noh berkata, setakat ini hanya ada kira-kira tujuh peratus sahaja koperasi masjid yang berdaftar di bawah Medac.

Menurutnya, pihaknya menyasarkan kira-kira 10 peratus koperasi masjid akan ditubuhkan selepas ini.

"Dalam program, kita cuba capai 10 peratus kerana ketika ini hanya ada kira-kira tujuh peratus saja," katanya," katanya.

GAMBAR fail, MOHD Salim. FOTO NSTP
GAMBAR fail, MOHD Salim. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 9:45 PM