Operasi bersepadu di Kilometer 11, Jalan Seremban - Port Dickson di Lukut. Ihsan Polis
Operasi bersepadu di Kilometer 11, Jalan Seremban - Port Dickson di Lukut. Ihsan Polis
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Sebanyak 49 saman dikeluarkan dalam operasi khas bersepadu dilakukan pihak berkuasa di Kilometer 11, Jalan Seremban-Port Dickson di Lukut hasil pemeriksaan terhadap 122 kenderaan, semalam.

Operasi bersepadu itu dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan bermula jam 3.30 hingga 6 petang.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, operasi khas ini memfokuskan kesalahan nombor pendaftaran.

"Objektif operasi khas ini adalah bagi memberikan tumpuan khas kepada pemilik kenderaan persendirian dan perdagangan yang melakukan kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran 'fancy' atau diubah suai.

"Ia juga tidak mengikut peraturan tanpa mendapat kelulusan JPJ di bawah Seksyen 14(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 108(3)(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah 6(1) LN 173/1969," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Katanya, dalam operasi itu sebanyak 31 motosikal, 76 kereta, lima van dan 10 kenderaan pelbagai guna (MPV) diperiksa dan 49 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 1:14 PM