FOTO hiasan
FOTO hiasan
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengisytiharkan wabak Japanese Encephalitis (JE) di daerah Kota Setar selepas mengesan dua kes jangkitan penyakit itu bulan ini.

Pengarahnya, Dr Othman Warijo berkata, kes pertama dilaporkan pada 18 November disusuli kes kedua pada Khamis lalu (25 November) dengan kedua-dua kes sudah meninggal dunia.

"Sehingga Khamis lalu, jumlah kumulatif kes JE yang dilaporkan di Kedah pada tahun ini adalah 10 kes berbanding 8 kes pada tempoh yang sama tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 25 peratus.

"Tiga daripada 10 kes telah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Dr Othman berkata aktiviti kawalan wabak telah dilaksanakan serta-merta oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar dan JKN.

Katanya, antara tindakan itu adalah kawalan vektor menerusi semburan ruang termal dan larvasiding di lokaliti kediaman pesakit dan tempat berisiko di lokaliti wabak.

"Pegawai Sains Kaji Serangga juga melakukan kajian entomologi di lokaliti wabak dan pengesanan kes secara aktif (ACD) di sekitar kawasan terbabit.

"Bagi mencegah penularan penyakit JE, masyarakat diseru supaya mengelakkan gigitan nyamuk dengan menggunakan repelan serta memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang berwarna cerah apabila berada di luar rumah," katanya.

Selain itu, katanya tindakan menyembur aerosol di dalam rumah pada 10 malam boleh dilakukan bagi membunuh nyamuk dewasa.

"Orang ramai juga perlu membersihkan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di kediaman masing-masing," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan sekiranya mengalami gejala seperti demam, sakit kepala dan muntah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 11:08 PM