GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Hasil kajian entomologi Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah yang dilakukan di lokaliti wabak di daerah Kota Setar mendapati terdapat 11 tempat pembiakan nyamuk Culex Tritaenioryhncus dan Culex Sitiens yang berpotensi menyebarkan virus Japanese Encephalitis (JE).

Pengarahnya, Dr Othman Warijo berkata penemuan itu adalah pencapaian aktiviti kawalan yang dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar dan JKN Kedah sejak 25 November lalu sehingga semalam bagi mengekang penyebaran virus berkenaan.

Katanya, menerusi pengesanan kes secara aktif (ACD) di sekitar kawasan terbabit, seramai 674 daripada 2,926 orang atau 23 peratus penduduk di kedua-dua lokaliti sudah disaring dan didapati tiada penduduk yang bergejala.

"Sehingga semalam hari ke lapan wabak, kes JE kekal dua kes. Dalam usaha menghapuskan tempat pembiakan nyamuk, sebanyak 291 atau 70.6 peratus daripada premis dalam 400 meter radius dari rumah pesakit sudah diperiksa.

"Semasa pemeriksaan, 14 bekas pembiakan nyamuk ditemui dan sebanyak 672 ml Abate 500E BTI digunakan untuk aktiviti larvasiding (iaitu penggunaan secara berkala bahan untuk membunuh jentik-jentik). Semburan ruang termal telah dilakukan pada 25 dan 26 November lalu membabitkan 412 premis iaitu 100 peratus.

"Semburan ruang ULV juga sudah dilakukan pada 25 dan 27 November lalu membabitkan 912 premis," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada Ahad lalu, media melaporkan JKN Kedah mengisytiharkan wabak JE di Kota Setar selepas mengesan dua kes pada November.

Dua kematian baharu yang dilaporkan di Kota Setar adalah pada 18 dan 25 November lalu iaitu di Jalan Pegawai dan Jalan Tanjung Bendahara, yang mana mangsa adalah golongan dewasa.

Mengulas lanjut, Dr Othman, berkata siasatan mendapati, tiada ladang penternakan khinzir berdaftar atau tidak berdaftar di sekitar lokaliti wabak.

Katanya, tinjauan menggunakan dron di sepanjang sungai berdekatan dengan lokaliti wabak juga tidak menemui sebarang lokasi berisiko kecuali kehadiran burung hijrah di kawasan bendang.

"Di samping itu, tiada aduan penduduk tentang kehadiran khinzir liar atau babi hutan di sekitar kedua-dua lokasi kediaman pesakit.

"Jabatan Perhilitan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan PKD Kota Setar juga sudah mengenalpasti lokasi untuk penangkapan burung hijrah bagi ujian PCR virus JE," katanya.

Dr Othman, berkata antara tindakan lain yang diambil pihaknya adalah mengedarkan risalah promosi kesihatan kepada semua penduduk yang tidak dapat ditemui dan hebahan pendidikan kesihatan menerusi kumpulan WhatsApp penduduk.

"Penduduk dinasihatkan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami tanda demam, sakit kepala dan muntah.

"Untuk mencegah penularan penyakit JE, jabatan ini menyeru seluruh masyarakat di Kota Setar melaksanakan langkah-langkah pencegahan dengan mengelakkan gigitan nyamuk menggunakan repelan dan memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang berwarna cerah apabila berada di luar rumah.

"Membuat semburan dalam rumah menggunakan semburan aerosol sekitar jam 10 malam bagi membunuh nyamuk dewasa selain membersihkan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di kediaman dan premis masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 10:29 AM