KEDAI milik Chong yang terletak di Petaling Jaya.
KEDAI milik Chong yang terletak di Petaling Jaya.
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: "Jangan buat orang ramai panik dengan khabar isu harga alat ganti kenderaan naik sehingga 60 peratus," kata pengusaha kedai alat ganti, Bay Tong Sitt, 45, atau lebih dikenali sebagai Chong.

Chong yang juga pemilik Bay Brothers Auto Sdn Bhd meluahkan rasa terkilannya dengan dakwaan mengatakan harga alat ganti naik mendadak.

"Saya sudah 24 tahun lebih menjalankan perniagaan alat ganti ini dan tidak dinafikan memang harga alat ganti ada kenaikan, tetapi bukanlah sampai 60 peratus.

"Bukan semua barangan alat ganti naik harga kerana ada juga yang harganya masih kekal sehingga sekarang.

"Kedai kami di Seksyen 8, Petaling Jaya dan di kawasan ini termasuk seluruh Semenanjung Malaysia memang ada naik harga tapi antara lima ke 20 peratus yang paling tinggi.

"Saya tidak pasti bagaimana pula dengan Sabah dan Sarawak kerana sudah pasti harga akan berbeza disebabkan logistik, namun jika pembekal tidak menaikkan harga kami pengusaha alat ganti pun akan cuba sebaik mungkin menyerap kos yang ada.

"Kita tak mahu pelanggan lari dan beberapa hari ini kebanyakan pelanggan yang datang akan bertanya mengenai kesahihan kenaikan harga 60 peratus itu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Chong mengulas mengenai isu harga alat ganti kenderaan yang bertebaran di media sosial dikatakan naik 60 peratus.

Menurutnya, kebanyakan barang yang naik adalah seperti minyak pelincir lebih kurang 10 hingga 18 peratus, bateri (lima ke lapan peratus), 'absorber' (lebih kurang 12 peratus) bergantung kepada jenama masing-masing.

"Barang seperti 'timing belt', 'water pump', 'brake pad' dan lain-lain produk buatan Malaysia tiada sebarang kenaikan, kemungkinan akan naik kemudian, tapi pihak kami kekalkan harga lama lagi.

"Kita tidak mahu orang ramai panik dan kita tak boleh mengawal kenaikan harga besi dunia, namun saya juga berharap tiada pihak yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan lebih sebab semua pun tahu ramai terjejas akibat pandemik Covid-19," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid berkata, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai pengusaha yang menaikkan harga alat ganti kenderaan terlalu tinggi boleh melaporkan terus kepada kementerian itu.

Menurutnya, konsumer juga boleh melaporkan sebarang isu harga melalui WhatsApp KPNDHEP ditalian 019-2794317.

"Konsumer boleh memberi maklumat lebih lanjut seperti lokasi, barangan serta harga pihak kami akan menyiasat mengenainya kerana kita tidak mahu ada yang mengambil kesempatan pada waktu sukar seperti sekarang.

"Setakat ini, kami masih belum menerima sebarang aduan harga alat ganti kenderaan naik 60 peratus, namun pihak kami akan sentiasa memantau dan mengambil tindakan terhadap pengusaha yang tidak bertanggungjawab.

"Jika sebelum ini harga RM5, tetapi tiba-tiba menjadi RM20 boleh terus buat aduan kepada KPDNHEP," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 8:03 PM