Mohd Iskandar Ibrahim


Kuala Lumpur: Kerajaan sedang dalam proses menilai tender terbuka perolehan pesawat dwifungsi tempur ringan dan latihan lanjutan (FLIT-LCA) bagi menggantikan pesawat Hawk 108/208 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, tender terbuka antarabangsa bagi perolehan itu ditutup 6 Oktober lalu.

"Kerajaan telah merancang secara sistematik bagi penggantian pesawat Hawk 108/208 sebagaimana digariskan dalam Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM (CAP55).

"Kerajaan juga sudah memulakan proses penggantian dengan meluluskan perolehan baharu FLIT-LCA melalui Rolling Plan 1 2021," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang memohon kerajaan mempertimbangkan penggantian pesawat Hawk 108/208 secara sistematik dengan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 11:41 AM