RULIFAH menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Pengurusan Sukan) arwah anaknya daripada Pro Canselor Toh Puan Dr Aishah Ong pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) Ke-60 di sini, hari ini. FOTO ihsan UM
RULIFAH menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Pengurusan Sukan) arwah anaknya daripada Pro Canselor Toh Puan Dr Aishah Ong pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) Ke-60 di sini, hari ini. FOTO ihsan UM
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: "Saya beri penghormatan kepada ibu mentua untuk naik ke pentas kerana ia impian arwah sebelum ini untuk hadiahkan skrol itu kepada ibunya," kata Shahira Abdul Halim.

Shahira, 29, isteri kepada pemanah negara Allahyarham Haziq Kamaruddin terharu saat melihat ibu mentuanya, Rulifah Salihin, 57, melangkah naik ke pentas bagi mengambil skrol Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Pengurusan Sukan) sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) Ke-60 di sini, hari ini.

Allahyarham antara 518 graduan yang menerima Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda pada istiadat konvokesyen sidang ketiga itu.

Menurut Shahira, arwah suami pernah meluahkan impian untuk membawa ibu bapanya ke konvokesyen apabila berjaya menamatkan pengajiannya.

"Inilah hari yang ditunggu-tunggu arwah selama ini dan saya berikan kejayaan terakhir arwah ini kepada ibunya.

"Arwah yang memulakan pengajian pada 2013 mengambil masa selama lapan tahun untuk menghabiskannya kerana perlu membahagikan masa antara sukan memanah, latihan dan kelas. Arwah tidak pernah putus asa sebaliknya berusaha keras untuk berjaya.

"Biasanya arwah merujuk dengan jurulatih mengenai jadual pengajian supaya tidak bertindih kerana ada masa arwah ke luar negara untuk menyertai kejohanan. Apabila di luar negara saya akan bantu sediakan bahan pengajian dia," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Ditanya mengenai kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang bersama Haziq, Shahira berkata, senyuman arwah kekal diingati kerana suaminya itu sentiasa tersenyum meskipun penat.

Haziq pernah beraksi di pentas Olimpik London 2012 dan Rio 2016, dilaporkan rebah di rumahnya sebelum dikejarkan ke Hospital Kajang dan disahkan meninggal dunia pada 9.37 pagi, 14 Mei lalu.

Antara pencapaian Haziq termasuk meraih pingat emas di Grand Prix Asia 2011 di Laos dan gangsa Piala Asia 2019 di Filipina, serta empat emas dan dua perak dalam acara individu dan berpasukan di Sukan SEA sejak edisi 2011 hingga 2019.

Sementara itu, dua atlet kebangsaan turut menerima Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan sama iaitu jaguh lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin, 26, dan penerjun negara, Wendy Ng, 28.

Mereka mengakui gembira dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang walaupun melalui pelbagai cabaran selain jadual latihan dan kejohanan yang padat.

Kata mereka, ia tidak pernah mematahkan semangat sebaliknya berusaha untuk membahagikan masa dengan baik.

Kedua-duanya turut mengucapkan terima kasih kepada pensyarah dan rakan yang banyak membantu sepanjang tempoh pengajian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 12:54 PM