Suasana menjelang Pilihanraya Negeri Melaka. FOTO BERNAMA
Suasana menjelang Pilihanraya Negeri Melaka. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Melaka: Dewan Undangan Negeri (Dun) Lendu yang berkeluasan 7,059.3 hektar merupakan kawasan kampung dalam pekan Masjid Tanah mempunyai potensi untuk mengecapi kemajuan seiring dengan perkembangan pesat teknologi semasa.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Lendu Abdul Kadir Jailani Aseli berkata, Lendu juga mampu membangun sebagai destinasi pelancongan berasaskan sejarah kerana di situ terdapatnya Masjid Lama berusia lebih 100 tahun dan Jam Merdeka.

Katanya, asal usul Masjid Tanah juga unik kerana mendapat namanya sempena sebuah masjid yang dibina daripada tanah liat yang terletak di tepian sungai.

"Itulah istimewanya Dun Lendu ini, terdapat sebuah pekan namanya Pekan Masjid Tanah. Lagi satu, ada Jam Merdeka yang merupakan bangunan bersejarah," katanya kepada Bernama, di sini.

Abdul Kadir Jailani berkata, Lendu juga mempunyai inap desa di Seri Tanjung yang diiktiraf kerajaan yang memberi peluang kepada pelancong dan penyewa menikmati suasana kampung di samping keindahan pantai Tanjung Bidara dan Pengkalan Balak.

Beliau berkata, Lendu mempunyai 12 kampung, 21 taman, 10 pusat kesihatan dan 42 rumah ibadah membabitkan masjid, tokong serta kuil, selain 24 sekolah termasuk tadika namun masih memerlukan pusat pengajian berasaskan kemahiran untuk membangunkan kemahiran golongan belia.

Bagaimanapun, Lendu seperti juga banyak kawasan DUN lain di Melaka tidak terlepas pelbagai masalah antaranya banjir kilat.

Seorang penduduk, Saadiah Puteh, 65, mengakui bencana itu kini semakin kerap berlaku berbanding sebelum ini.

"Tak tahu kalau disebabkan perparitan atau ada faktor lain, tetapi kali terakhir berlaku banjir adalah baru-baru ini. Apabila hujan lebat sahaja, mesti kawasan ini banjir," kata Saadiah.

Peniaga makanan, Kamarudin Mat Akhir, 80, pula berpendapat lampu isyarat perlu dibina dengan lebih banyak, terutama di dalam kawasan kampung.

"Selalu berlaku kemalangan, puncanya mungkin pemandu tak sabar nak memotong kenderaan lain. Kereta memang selalu laju (dipandu) di kawasan ini," katanya.

Seorang lagi peniaga makanan, Adham Mohamed, 57, pula mahukan lebih banyak pasar persendirian dibangunkan di Lendu bagi membuka peluang pekerjaan kepada penduduk, terutama golongan belia.

"Sekarang pun dah banyak, tetapi kalau boleh nak tambah lagi peluang pekerjaan untuk anak muda. Secara keseluruhannya, apa yang ada sekarang ini pun sudah memuaskan hati," katanya.

Dun Lendu bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang mewakili Barisan Nasional (BN) menentang Mejar (B) Abdullah Mahadi dari Perikatan Nasional (PN) dan Mohamad Asri Ibrahim mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 5:23 PM