Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam sungai di Kampung Hutan Betut, Mergong, di sini, hari ini.

Kejadian itu berlaku selepas lelaki itu membantu mengetuk pintu rumah sepupunya yang terbakar, terletak bersebelahan dengan rumahnya.

Dalam kejadian 5.15 pagi tadi, mangsa, Mohamad Nazri Mohammad Saad, 48, dipercayai terjatuh ke dalam sungai yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya.

Difahamkan, sebelum itu, mangsa terdengar jeritan dari rumah bersebelahan yang terbakar dan bergegas keluar dari rumahnya.

Dia mengetuk pintu rumah itu untuk membantu menyedarkan penghuni di rumah berkenaan.

Namun, dia kemudian dipercayai berasa tidak sedap badan dan berehat di pokok berhampiran sungai berkenaan sebelum terjatuh ke dalam sungai.

Mangsa kemudian dibantu penduduk kampung yang membantu mengangkatnya dari sungai berkenaan sebelum dibantu anggota bomba yang tiba di lokasi tidak lama kemudian.

Mangsa terlebih dahulu diberi bantuan pernafasan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar.

Namun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia yang tiba di lokasi tidak lama kemudian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 5.32 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Alor Setar dan Jalan Raja tiba di lokasi untuk membantu memadam kebakaran sebuah rumah dua tingkat.

"Kebakaran itu turut menyebabkan lima kereta dan dua motosikal turut terbakar.

"Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku pada keluarga mangsa kebakaran. Semua tujuh penghuni rumah itu selamat.

"Namun, kami dimaklumkan terdapat seorang mangsa terjatuh ke dalam sungai berhampiran rumah terbakar itu.

"Laporan awal yang diterima mendapati, mangsa dipercayai terkejut dan terjatuh ke dalam sungai berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

KEBAKARAN berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
KEBAKARAN berkenaan. FOTO Ihsan Bomba

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 10:20 AM