AZMI Tahir. FOTO Arkib NSTP
AZMI Tahir. FOTO Arkib NSTP
Ahmad Johari Mohd Ali

Kuala Lumpur: Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1Malaysia Development Malaysia Berhad (1MDB), Azmi Tahir menafikan namanya digugurkan daripada saman sivil yang dikemukakan syarikat itu supaya beliau memberi keterangan yang menunjukkan Datuk Seri Najib Razak bersalah dalam tuduhan jenayah di mahkamah.

Azmi selaku saksi ke-12 pendakwaan menafikan cadangan peguam Najib, Datuk Hariharan Tara Singh ketika menyoal balasnya pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

Hariharan berkata, di sebalik dakwaan serius oleh 1MDB terhadap Azmi dalam tuntutan saman yang menyatakan beliau melakukan pertolongan tidak jujur dengan menolong Low Taek Jho atau Jho Low menyeleweng wang syarikat, saman itu kemudian dipinda dan nama Azmi digugurkan.

Katanya, nama mereka yang tidak dipanggil sebagai saksi, kekal dinamakan sebagai defendan dalam saman terbabit terutamanya bekas CFO syarikat itu, Radhi Mohamad.

Azmi bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan peguam yang bertalu-talu menyoalnya dan mempersoalkan mengapa nama beliau digugurkan daripada saman dan tiada pendakwaan jenayah dikenakan terhadapnya.

Hariharan kemudian merujuk Azmi kepada senarai saksi yang akan dipanggil oleh pendakwaan, dan saksi itu bersetuju bahawa nama mereka yang disenaraikan sebagai saksi kemudiannya digugurkan sebagai defendan dalam saman 1MDB.

Ditanya Hariharan sama ada beliau bersetuju bahawa individu yang tidak dipanggil sebagai saksi kekal dinamakan sebagai defendan, Azmi menjawab, "nampaknya begitu."

Hariharan turut mempersoalkan mengapa pertuduhan jenayah tidak dibuat ke atas Azmi walaupun beliau penandatangan bersama dan pengarah subsidiari 1MDB, sedangkan timbalannya Terence Geh, peguam syarikat Jasmine Loo dituduh in absentia (tanpa kehadiran).

Menjawab persoalan itu, Azmi berkata, beliau tidak mengetahui mengapa dia tidak didakwa.

"Sekali lagi, saya tidak tahu mengapa sesetengah individu tidak didakwa, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) saya tidak didakwa, Ahli Lembaga Pengarah tidak didakwa. Saya tidak tahu mengapa ada yang didakwa, dan saya tidak," katanya.

Azmi berkata, beliau hanya mengetahui 1MDB memfailkan saman terhadapnya dan beberapa individu lain tahun lalu dan beliau tidak pernah diserahkan dengan salinan tuntutan berkenaan.

Pada 16 Ogos tahun lalu, media melaporkan, 1MDB dan empat anak syarikatnya menggugurkan tujuh daripada 15 defendan dalam tuntutan saman AS$8 bilion terhadap bekas pemegang jawatan syarikat terbabit.

Selain Azmi, mereka yang digugurkan daripada saman itu antaranya bekas Pengarah Bukan Eksekutif Tan Sri Ismee Ismail; bekas pengarah Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin; dan bekas CEO Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi serta Mohd Hazem Abdul Rahman.

Sementara itu, Azmi berkali-kali menegaskan bahawa beliau tidak boleh dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas apa yang berlaku ke atas syarikat itu sepanjang beliau berkhidmat sebagai CFO.

Bagaimanapun, Azmi bersetuju bahawa beliau bertanggungjawab secara bersama untuk memastikan semuanya diperiksa dengan betul dan teliti sebelum menandatangani sebarang dokumen.

Pada soalan lain, Azmi menafikan cadangan peguam bahawa beliau mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap urusan kewangan syarikat.

Azmi menegaskan, walaupun memegang jawatan sebagai CFO, beliau tidak mengawal setiap sen wang kerana tidak terbabit dalam kesemua transaksi yang berlaku di 1MDB.

Jelasnya, segala tindakan berkaitan transaksi pemindahan wang adalah atas arahan yang diberikan kepadanya oleh Jho Low.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 6:23 PM