CALON PH DUN Telok Mas Datuk Ashraf Mukhlis Minghat (tengah) ke Pusat Penamaan Calon Kompleks Komuniti Desa, Telok Mas. FOTO Amir Mamat
CALON PH DUN Telok Mas Datuk Ashraf Mukhlis Minghat (tengah) ke Pusat Penamaan Calon Kompleks Komuniti Desa, Telok Mas. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Melaka: Polis membuka kertas siasatan berhubung tindakan calon Pakatan Harapan (PH) membawa penyokong di luar perkarangan Pusat Penamaan Calon (PPC) Kompleks Komuniti Desa, Telok Mas di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Rais Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 9 pagi tadi.

Beliau berkata, kumpulan individu berpakaian kemeja T merah dilihat berarak mengiringi calon, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat.

"Kita dapati terdapat kehadiran kira-kira 25 penyokong daripada PH mengiringi calon ke PPC di DUN Telok Mas.

"Berikutan itu, Pasukan Cantas Khas bertindak menyuraikan kumpulan itu sebelum semuanya beredar dan berada di luar kawasan PPC," katanya.

Katanya, polis akan mengenal pasti individu yang terbabit sebelum siasatan dijalankan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengeluarkan amaran kepada semua parti supaya sebarang aktiviti berkumpul dan perarakan penyokong calon bertanding tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang tempoh penamaan calon.

Hanya calon, pencadang dan penyokong calon dibenarkan masuk ke PPC, sekali gus menyaksikan kelainan berbanding pilihan raya sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 11:43 AM