Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Polis menerima 29 laporan daripada individu di daerah ini yang enggan menerima vaksin.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, laporan itu diterima sepanjang tahun ini membabitkan pelbagai golongan.

"Semua kes sudah dirujuk kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) untuk tindakan lanjut.

"Saya menyeru kepada semua golongan masyarakat khususnya di daerah ini agar segera mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 demi kebaikan bersama," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu Abdul Rahim hadir di program membersihkan kubur di Tanah Perkuburan Islam Kolam, Mukim Sering, di sini.

Program anjuran Kelab Peminat Eddie Hamid (EHFC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan syarikat perumahan Marshah Holding Sdn Bhd.

Sebanyak tiga lokasi tanah perkuburan di mukim itu dibersihkan hari ini termasuk Tanah Perkuburan Islam Chicha dan Tanjong oleh 120 individu.

Penaung EHFC, Datuk Zulkernain Che Othman berkata, program itu adalah aktiviti amal kebajikan untuk berbakti kepada komuniti setempat.

Selain itu katanya, pihaknya juga aktif membantu dengan memberi bakul makanan dan bantuan wang tunai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 5:09 PM
Abdul Rahim (kiri) bersama penduduk kampung bergotong royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam Chicha dan Tanjong. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Abdul Rahim (kiri) bersama penduduk kampung bergotong royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam Chicha dan Tanjong. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR