MOHD Yusrizal. FOTO Arkib NSTP
MOHD Yusrizal. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diminta melakukan siasatan secara telus bagi memastikan pengguna tidak ditindas dengan harga makanan tidak munasabah di Langkawi.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusoff berkata, kejadian itu berkemungkinan akibat masalah komunikasi antara kedua pihak (penjual dan pembeli) yang mengakibatkan pengguna tidak berpuas hati dan akhirnya bertindak menularkan bil makanan berkenaan.

"Sepatutnya pengguna terbabit melaporkan kepada KPDNHEP agar siasatan dapat dilakukan dan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat kesalahan. Kita tidak tahu sama ada penjual mempamerkan tanda harga atau tidak.

"Sekiranya tiada tanda harga dipamerkan, tindakan tegas perlu diambil, namun jika ikan siakap hidup yang dikatakan untuk pameran sahaja, penjual sepatutnya bertegas tidak menjualnya kepada pelanggan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan pelanggan sebuah restoran di Langkawi susulan harga ikan siakap dipesannya terlalu mahal.

Satu resit dimuat naik sebelum ia tular di media sosial yang tertera ikan siakap seberat 7.48 kilogram yang berharga RM1,196.80.

Jumlah keseluruhan bil dimuat naik pelanggan terbabit termasuk hidangan makanan dan minuman lain adalah RM1,852.50 untuk tujuh orang makan.

Bagaimanapun, pemilik Restoran Terapung Sas Rimba, Norasyikin Musa pula mendakwa dia sendiri yang mengambil pesanan pelanggan terbabit dan memintanya untuk melihat ikan sebelum dimasak, tetapi mereka tidak mahu berbuat demikian.

Katanya, harga bagi ikan siakap terbabit sudah dinyatakan di dalam menu restorannya iaitu RM16 bagi setiap 100 gram (g).

Mohd Yusrizal berkata, kejadian itu boleh memberi kesan kepada industri pelancongan di Langkawi berikutan kedai makan atau restoran lain turut akan terkena tempias.

Katanya, ia memberi persepsi buruk kepada orang ramai termasuk pelancong sendiri.

"Kita faham peniaga sudah hampir dua tahun terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun mereka janganlah menekan pengguna.

"Ia boleh memberi kesan buruk kepada industri pelancongan yang baru mula bernafas, pengguna pula saya nasihatkan terus lapor kepada KPDNHEP agar tindakan sewajarnya dapat diambil," katanya.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 2:49 PM