Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: "Penat membersihkan rumah, kelmarin pun tak hilang lagi, hari ini sambung cuci lagi. Kalau ada ban (benteng) sebagai penghadang mengelak air sungai melimpah sudah pasti semua masalah selesai," kata Raja Yusuf Shah Raja Sulaiman, 35.

Rumah Raja Yusuf Shah, antara 70 kediaman di Lorong Pinang dan Lorong Kalat, Batak Rabit, di sini, yang terjejas akibat banjir kilat susulan fenomena air pasang besar sejak kelmarin.

Raja Yusuf Shah berkata, rumahnya di Lorong Pinang dinaiki air sejak kelmarin dan pagi tadi paling tinggi kira-kira 0.6 meter (m).

Menurutnya, limpahan air Sungai Perak berlaku apabila tiada benteng di persisir sungai hingga menjejaskan rumah penduduk.

"Air pasang sebelum ini pun air naik di rumah tapi kali ini berturut-turut, memang penat nak bersih dan cuci rumah.

"Kami sangat bersyukur air pasang kali ini tidak bertembung dengan hujan lebat kalau tidak mesti lagi tinggi air," katanya ketika ditemui di rumah bapa mentuannya di sini, hari ini.

Katanya, air mula naik pada 5.30 pagi sebelum surut sejam selepas itu dan mereka tidak berpindah ke pusat pemindahan kerana air akan surut sepenuhnya selepas beberapa jam.

"Kalau ada ban (benteng) dapat bantu elak limpahan air. Kami sangat berharap pihak berkenaan dapat membina ban baru di sini yang sudah terhakis sejak 10 tahun lalu," katanya yang tinggal bersama isteri, tiga anak dan bapa mentua.

Beberapa kawasan yang turut terjejas di Teluk Intan ialah Kampung Sungai Kerawai, Kampung Terengganu, Pekan Teluk Intan, Kampung Esso, Ban Taman Maharani, Batu 6 Jalan Maharajalela, Taman Muhibbah Batu 6, Lorong Masjid Kampung Bahagia dan Taman Desa Aman dan sudah surut sepenuhnya.

RAJA Yusuf Shah Raja Sulaiman menunjukkan paras air dalam rumahnya di Lorong Pinang, Kampung Batak Rabit, Teluk Intan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
RAJA Yusuf Shah Raja Sulaiman menunjukkan paras air dalam rumahnya di Lorong Pinang, Kampung Batak Rabit, Teluk Intan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Rubiah Radzy, 38, berkata, dia yang tinggal di Batu Empat, Teluk Intan datang ke rumah ibunya di Lorong Kalat untuk membantu membersihkan rumah yang dinaiki air bersama adik beradik dan anak saudaranya.

Menurutnya, ibu dan keluarga adiknya sudah membuat persiapan awal meletakkan semua barang dan dokumen penting di tempat lebih selamat.

"Sungai Perak di belakang rumah mak saja dan memang selalu rumahnya dinaiki air apabila air pasang. Pagi tadi jam 5 pagi air sudah mula masuk ke dalam rumah dan surut pada 7.30 pagi. Sempatlah kami bersarapan di dapur yang dinaiki air pagi tadi.

"Saya juga berharap pihak berkenaan dapat membina ban (benteng) dengan segera, sampai bila perlu begini, kita bukan sentiasa muda nak bersihkan rumah selalu kalau kerap sangat dinaiki air," katanya.

Nelayan, Mohd Salim Shaari, 60, berkata, dia tidak mahu mengambil risiko mencari ikan di sungai kerana arus sungai laju ketika air pasang besar.

Katanya, waktu begini juga banyak sampah di sungai yang turut menyukarkan aktiviti menjala dan dia akan kembali mencari udang selepas selepas musim air pasang besar minggu depan.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, kira-kira RM40 juta diperlukan untuk mengatasi masalah banjir kilat disebabkan limpahan air Sungai Perak di sekitar kawasan Teluk Intan.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM30 juta bagi pelaksanaan projek tebatan banjir berhampiram Kampung Batak Rabit yang sebelum ini sudah dijalankan, namun berdepan beberapa isu dan terpaksa ditangguh kerana perlu direka bentuk semula.

Sementara itu, Dataran Waterfront Bagan Datuk dan Bagan Sungai Burung juga terjejas banjir kilat susulan fenomena air pasang besar.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Bagan Datuk, Kapten (PA) Mohd Zaidi Ahmad berkata, ketinggian paras air laut adalah 3.4 m pada jam 4.55 pagi dan ia tertinggi setakat ini.

Katanya, sebuah rumah di Kampung Pasang Api dinaiki air, namun air sudah surut sepenuhnya dan setakat ini tiada penduduk diarah berpindah dan semua kawasan terkawal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 2:38 PM