Khairul Najib Asarulah Khan


DUA pengedar dadah dicekup dalam dua operasi berasingan di Seremban pada Rabu dan Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Superintendan Mohd Faisal Yahya berkata, hasil maklumat awam pihaknya menjalankan risikan selama dua minggu.

Katanya, dalam serbuan Op Sarang di kawasan semak di Kampung Sendayan, Rabu lalu, polis berjaya menahan pengedar lelaki berusia 43 tahun.

Menurutnya, dalam operasi bermula 5 pagi sehingga 5 petang itu, pihaknya turut menahan 24 penagih dadah berusia 21 sehingga 63 tahun.

"Polis merampas dadah jenis heroin seberat 31 gram yang dianggarkan bernilai RM1,000. Selain itu, kita turut menyita sebuah motosikal dan wang tunai dengan keseluruhannya bernilai RM3,840," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, hari ini.

Mohd Faisal berkata, pada Khamis lalu pihaknya turut menjalankan Op Khas di sebuah rumah di Bandar Seremban Selatan yang disyaki dijadikan lokasi pengedaran dadah.

"Dalam operasi itu, kami menahan seorang lelaki yang juga pengedar dadah berusia 31 tahun dan turut mempunyai empat rekod lampau berkaitan narkotik.

"Kita turut merampas 43.2 gram dadah jenis heroin dianggarkan bernilai RM2,100. Dadah terbabit dipercayai untuk diedarkan di pasaran tempatan," katanya.

Katanya, semua ditahan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15 (1)(a) akta yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 4:22 PM