NANCY (tengah) memotong kek bersama dengan anak-anak yang lahir pada 31 Ogos. FOTO Saifullizan Tamadi.
NANCY (tengah) memotong kek bersama dengan anak-anak yang lahir pada 31 Ogos. FOTO Saifullizan Tamadi.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) berharap kerajaan dapat memberi peruntukan dalam Bajet 2023 bagi membolehkan lebih banyak promosi pelancongan di luar negara dapat dilaksanakan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peruntukan bagi promosi itu paling utama ketika ini dan wajar dipertimbangkan kerana sumber pendapatan utama sektor pelancongan negara banyak disokong oleh kemasukan pelancong asing ke negara ini.

Katanya, Motac perlu giat melaksanakan promosi pelancongan di luar negara secara menyeluruh memandangkan banyak sempadan antarabangsa sudah mula dibuka terutama dari China.

"Kami melihat ini adalah antara cadangan utama dalam Bajet 2023 dan berharap kerajaan memahami pentingnya peruntukan bagi tujuan itu.

"Kedua, Motac berharap kerajaan akan meneruskan geran sepadan untuk pelancongan dan kebudayaan. Ia sangat bermanfaat, dengan kesan limpahan ekonominya sangat besar merangkumi semua pihak.

"Kami juga berharap menerusi Bajet 2023 dapat memberi perhatian kepada aspek diplomasi kebudayaan.

"Sebagai contoh, Kementerian Luar Negeri tidak melaksanakan hal berkaitan kebudayaan di luar negara, jadi jika ada peruntukan khusus, boleh kita bekerjasama untuk mengadakan festival di luar negara," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Sambutan Anak Merdeka Sempena Hari Kemerdekaan ke-65 Tahun di Memorial Tun Hussein Onn, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Saraya Arbi; Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Jaafar Sidek Abdul Rahman serta Pengerusi Persatuan Warisan Anak Merdeka Kuala Lumpur dan Selangor, Datuk Dr Mohammad Alwi Abdul Rahman.

Pada majlis itu, anak merdeka dari Kuala Lumpur dan Selangor bersama ahli keluarga dijemput meraikan dan memeriahkan program terbabit.

Beberapa aktiviti dilaksanakan sebagai pengisian program, antaranya acara memotong kek bagi peserta diraikan, lawatan berpandu ke Memorial Tunku Abdul Rahman, Memorial Tun Hussein Onn dan Memorial Negarawan, pertandingan melukis dan susunan suai gambar, 'Treasure Hunt' dan hari terbuka Kompleks Arkib Perdana Menteri dan Arkib Negarawan (Kapman).

Sementara itu, Nancy berkata, Program Sambutan Anak Merdeka yang dianjurkan Arkib Negara Malaysia (ANM) dilihat dapat mengangkat nilai kebersamaan, keberanian dan dinamisme rakyat Malaysia seiring dengan pelaksanaan Dasar Kebudayaan Negara (Daken).

"Generasi anak merdeka juga perlu mempelajari selok-belok pentadbiran daripada pembuat dasar dan penjawat awam kerana rata-rata yang mentadbir negara hari ini adalah anak merdeka.

"Mereka sudah melalui pelbagai fasa dan transformasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 4:48 PM