Dr Noor Azmi (kanan) beramah mesra dengan para pelajar yang  menunggu giliran untuk menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 semasa meninjau proses pemberian vaksin kepada pelajar sekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Triang 2, hari ini. FOTO BERNAMA
Dr Noor Azmi (kanan) beramah mesra dengan para pelajar yang menunggu giliran untuk menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 semasa meninjau proses pemberian vaksin kepada pelajar sekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Triang 2, hari ini. FOTO BERNAMA
Roselan Ab Malek
am@hmetro.com.my


Bera: Usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengadakan pertemuan dengan kumpulan anti vaksin masih belum berhasil.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pertemuan itu diatur bagi membolehkan pihaknya memberi penjelasan mengenai kepentingan vaksin.

"Usaha mengatur pertemuan antara KKM dengan wakil kumpulan anti vaksin masih belum berhasil.

"Saya (sebelum ini) ada sebut, perjumpaan dengan golongan anti vaksin adalah bagi memberi penerangan. Saya bimbang mereka mendapat maklumat yang salah atau persepsi yang salah, anggapan yang salah.

"Setakat ini, tidak ada kumpulan anti vaksin yang respond (beri maklum balas) kepada saya," katanya ketika sidang media selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Triang 2, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas status cadangan dikemukakan KKM dalam sidang Dewan Rakyat pada 17 Oktober lalu untuk mengadakan perjumpaan dengan kumpulan antivaksin yang masih dengan pendirian mereka menolak pengambilan vaksin Covid-19.

Dalam perkembangan berkaitan, Noor Azmi berkata, kira-kira 8,000 klinik swasta dan pakar sudah mendaftar untuk mengambil alih program vaksinasi selepas semua PPV ditutup.

"Sekarang pun sudah banyak PPV ditutup, PPV mega ditutup dan kita akan serahkan kepada klinik swasta untuk meneruskan proses vaksinasi.

"Sebelum ini kita sudah ada lebih 2,000 klinik swasta berdaftar bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), dan sekarang kita ada 8,000 lebih yang akan meneruskan program vaksinasi ini.

"Maknanya, program suntikan vaksin tidak akan terjejas sepanjang musim tengkujuh dan kita juga yakin dapat melengkapkan proses suntikan vaksin untuk remaja pada 21 November ini," katanya.

Mengulas status vaksinasi di Pahang, katanya, seramai 1.11 juta penduduk sudah menerima vaksin lengkap menjadikan kadar imunisasi bagi populasi di negeri itu sebanyak 95 peratus.

Katanya, daripada jumlah itu, 992,976 atau 84.5 peratus adalah orang dewasa manakala 119,823 atau 69.3 adalah remaja.

Tambahnya, seramai 8,323 petugas barisan hadapan KKM di Pahang sudah menerima dos penggalak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 3:24 PM