DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay melawat Pusat Rehat dan Rawat (R&R) Machap Lebuhraya Utara Selatan. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay melawat Pusat Rehat dan Rawat (R&R) Machap Lebuhraya Utara Selatan. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Sebanyak 3,015 kompaun dikeluarkan di negeri ini akibat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), September lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, bagi tempoh 1 Oktober hingga Khamis lalu pula, pihak berkuasa melakukan pemeriksaan terhadap 8,838 individu di pusat beli belah, 4,400 individu di taman rekreasi.

"Selain itu, seramai 1,598 individu di tempat perkelahan, 51 individu di tapak perkhemahan dan 1,910 individu di tapak permainan turut diperiksa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa melawat Pusat Rehat dan Rawat (R&R) Machap Lebuhraya Utara Selatan di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Low Hang Seng.

Katanya, sebanyak 8,665 individu dinasihati supaya mematuhi SOP berkenaan manakala 41 kompaun dikeluarkan.

Dalam pada itu, pihaknya juga melakukan operasi di seluruh R&R dan laybay (hentian rehat) di negeri ini bermula 15 Oktober lalu dan mengutamakan pemeriksaan vaksinasi bagi individu yang merentas negeri.

"Sejumlah 711 pemeriksaan terhadap individu dibuat dari 15 Oktober hingga Khamis lalu.

"Pengesahan vaksinasi termasuk pematuhan SOP dan protokol kesihatan yang lain," katanya.

Ayob Khan berkata, terdapat tiga R&R dan lima laybay arah ke selatan manakala dua R&R dan lima laybay ke arah utara selain dua R&R di Lebuhraya Link Kedua Gelang Patah.

"Lokasi ini akan dipantau polis dari masa ke masa bagi memastikan SOP dipatuhi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 6:44 PM