Faizan menunjukkan laporan dibuat mengenai penjualan arak Timah di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.
Faizan menunjukkan laporan dibuat mengenai penjualan arak Timah di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pihak berkuasa didesak mengambil tindakan menyekat penjualan arak jenama Timah yang dilihat seakan menghina agama Islam.

Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) Faizan Mohd Nor berkata, pihaknya juga mahu penjualan arak berkenaan dihentikan segera bagi sehingga siasatan terperinci dilakukan terhadap isu itu.

Katanya, beliau mewakili Pekemas membuat laporan polis kerana mahu kertas siasatan dibuka mengenai isu itu dengan memanggil pihak terbabit termasuk Pengarah Syarikat Winnepeg Corporation, Gilbert Yeo dan Kenny Teo.

"Selain itu, kementerian berkaitan yang memberi kelulusan penjualan serta penggunaan nama arak berkenaan yang mengelirukan perlu juga dipanggil untuk membantu siasatan.

"Menteri Agama yang begitu lantang pengharaman arak di Malaysia patut dipanggil untuk menjawab isu penggunaan nama 'Timah' seakan menghina Islam kerana anak perempuan Nabi Muhammad bernama Fatimah.

"Saya tidak pasti apa motif pemilik arak berkenaan menggunakan nama itu serta melancarkannya pada 7 Oktober lalu yang hampir dengan sambutan Maulidur Rasul yang disambut umat Islam, esok," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini, hari ini.

Faizan berkata, perkara itu perlu dipandang serius oleh pihak berkuasa memandangkan Islam adalah agama rasmi persekutuan dengan menjaga sensitiviti umat Islam.

"Kami meminta pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh ke atas semua pihak yang terbabit dengan isu ini.

"Ini kerana kami khuatir sekiranya penjualan arak berkenaan diteruskan akan mengundang remaja Islam membeli minuman keras berkenaan sekali gus mengakibatkan pelbagai masalah sosial," katanya.

Menurutnya, jika tiada tindakan diambil dalam masa terdekat, akan lebih ramai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil untuk membuat bantahan.

"Kita mahu tindakan diambil segera dalam isu ini. Jika tidak, saya yakin lebih ramai NGO akan tampil untuk menuntut perkara sama," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi, di sini, hari ini, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung perkara terbabit.

Sebelum ini, media melaporkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya segera mengharamkan penjualan jenama arak Timah keluaran Malaysia di pasaran negara ini.

Malah, iklan dan promosi arak berkenaan dianggap biadap berikutan penampilan imej lelaki berkopiah dengan janggut panjang, seolah-olah memaparkan individu berimej agama.

Selain itu, Pemuda Pas turut mendesak kerajaan supaya menutup operasi kilang arak berkenaan yang disifatkan sebagai malapetaka dan penghinaan kepada Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 5:47 PM