Laporan Harian Metro
Laporan Harian Metro
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kelemahan penguatkuasaan menjadi punca isu penjualan arak yang mengelirukan umat Islam semakin berleluasa.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan perlu menyekat pengunaan nama Timah serta imej lelaki berkopiah itu berikutan ia tidak sesuai digunakan dan sememangnya boleh mengelirukan umat Islam.

"Tidak kira apapun makna disebalik imej serta nama Timah itu, ini tidak sepatutnya dibiarkan.

"Kerajaan perlu lebih tegas dan ada kesungguhan untuk membanteras isu ini dengan mengawal pengeluaran dan penjualan arak ini kerana akan memberi implikasi buruk selain mengelirukan pengguna khususnya anak muda beragama Islam," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau mengulas isu penjualan arak keluaran tempatan, jenama Timah yang dilancarkan di media sosial, 7 Oktober lalu.

Mengulas lanjut katanya, penjualan arak itu jika dibiarkan akan mengelirukan pengguna khususnya umat Islam.

"Ia akan menjadikan masyarakat tidak sensitif kerana tiada kawalan dan penjualan ini seolah-olah dibenarkan.

"Jadi, pengguna juga perlu bijak membuat pilihan dan membuat semakan terlebih dulu dengan pihak bertauliah tentang setiap apa yang ingin dibeli di pasaran," katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya sudah membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, menurut perkongsian di media sosial, tiada sebarang teori konspirasi membabitkan Whisky Timah kerana imej lelaki berjanggut panjang itu dipercayai bernama Tristram Charles Sawyer Speedy atau lebih dikenali sebagai Captain Speedy.

Berdasarkan laman sukarelawan Museum Negara (https://museumvolunteersjmm.com/2020/11/05/captain-speedy/), Captain Speedy yang bukan Muslim dan tiada darah Melayu itu pernah berkhidmat di Straits Settlement dan ditugaskan untuk membawa keamanan di kawasan perlombongan Timah di Larut sekitar Taiping selepas Perjanjian Pangkor mengakhiri Perang Larut.

Sebagai Pembantu Residen di Larut, beliau bekerjasama dengan pembesar Melayu seperti Orang Kaya Mantari Ngah Ibrahim.

Sementara itu, pengeluar produk arak berkenaan di laman rasmi Facebook mereka 15 Oktober lalu menjelaskan kekeliruan yang timbul dan pemilihan nama dan imej berkenaan berkait rapat dengan sejarah arak pada zaman British memerintah Tanah Melayu.

"Kami tidak berniat mencetuskan kontroversi. Lelaki pada label botol arak kami itu ialah Captain Speedy yang pernah memperkenalkan budaya wiski ketika itu.

"Oleh kerana beliau berkait rapat dengan sejarah perlombongan bijih timah, kami menggunakan nama Timah. Jadi, Timah dimaksudnya ialah (arak) untuk dinikmati orang bukan Islam berdasarkan pembelian alkohol had usia yang dibenarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 4:50 PM