DR Haim Hilman Abdullah, (kanan) beramah mesra dengan pelajar semester tiga UUM, Nur Alia Natasha Zakaria, 21. FOTO Noorazura Abdul Rahman
DR Haim Hilman Abdullah, (kanan) beramah mesra dengan pelajar semester tiga UUM, Nur Alia Natasha Zakaria, 21. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Sintok: "Walaupun sudah di Semester Tiga, ini kali pertama saya merasai pengalaman tinggal di kampus dan kali ini yakin situasi semasa pandemik Covid-19 semakin baik," kata Nur Alia Natasha Zakaria, 21.

Penuntut jurusan Sarjana Muda Pengurusan Operasi Universiti Utara Malaysia (UUM) ini berkata, sebelum ini dia menangguhkan kemasukan ke asrama universiti itu berikutan bimbang dengan penularan Covid-19 yang melanda seluruh negara.

Selain itu, katanya, capaian internet di kampus juga lebih baik bagi memudahkan dia belajar berbanding di rumahnya di Kampung Sungai Belati, Simpang Empat, Perlis.

"Kini keadaan tampak kian pulih malah saya bersama rakan-rakan juga yakin dengan tahap keselamatan di UUM. Disebabkan itu kami mengambil peluang ini untuk merasai pengalaman tinggal di kampus.

"Lagi pun jaringan internet di rumah saya agak teruk hingga beberapa kali terputus sewaktu mengikuti kelas secara dalam talian.

"Jika tinggal di kampus, capaian internet di sini lebih baik walaupun mungkin perlu menjalani kelas dalam talian," katanya.

Nur Alia Natasha antara 800 penuntut baharu dan lama mendaftarkan diri pada hari pertama kemasukan sesi akademik 2021/2022 UUM, hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, sesi kemasukan penuntut kali ini dijalankan secara berperingkat sehingga Ahad ini yang membabitkan seramai 3,041 penuntut.

Katanya, sebagai langkah keselamatan semua penuntut digalakkan untuk menjalani ujian pengesanan Covid-19 terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan.

"Ketika sampai di UUM, kita akan buat ujian pengesanan sekali lagi dan sekiranya penuntut tidak bergejala kita akan membenarkan pergerakan ke Inapan Siswa (Inasis)," katanya ketika ditemui di UUM, hari ini.

Katanya, konsep pendaftaran pada sesi ini juga dijalankan secara pandu lalu dan ahli keluarga yang hadir tidak dibenarkan turun daripada kenderaan.

"Bermula daripada ujian saringan sehingga ke Inasis kita menggunakan konsep pandu lalu yang mana secara keseluruhannya akan mengambil masa antara 25 hingga 30 minit.

"Setibanya penuntut di Inasis pun, ibu bapa tidak dibenarkan turun bersama sebaliknya sukarelawan UUM akan membantu penuntut mengangkat barang dan sebagainya," katanya.

Haim Hilman berkata, setakat ini proses pendaftaran pada hari pertama berjalan lancar dan tiada jangkitan Covid-19 dikesan dalam kalangan 275 penuntut yang mendaftar bagi sesi pagi.

"Pendaftaran hari pertama membabitkan penuntut daripada wilayah Utara iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang manakala hari kedua membabitkan penuntut dari wilayah tengah dan selatan dan hari ketiga penuntut pantai timur.

"Bagi penuntut antarabangsa serta dari Sabah dan Sarawak, tempoh pendaftaran mereka terbuka sehingga hujung bulan ini. Kita akan menyediakan kenderaan untuk membawa mereka secara terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke UUM.

"Untuk penuntut antarabangsa, kita sediakan kenderaan untuk mengambil mereka dari pusat kuarantin ditetapkan ke UUM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 6:47 PM