GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Semua penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) yang positif sudah dihantar ke hospital kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan.

Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, setakat ini belum ada kakitangan UUM yang dikesan positif terhadap ujian pengesanan Covid-19.

Katanya, Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) yang tinggal di sebuah Inapan Siswa (Inasis) juga sudah disaring dan dipindahkan untuk dikuarantin di luar kampus utama.

"Inasis itu ditutup serta merta dan dikawal 24 jam apabila isu ini timbul dan semua penghuni kini terasing daripada orang ramai.

"Manakala penuntut yang berada di dalam kampus tidak dibenarkan keluar melainkan dengan kebenaran Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Bashawir berkata, pengurusan universiti juga memutuskan supaya penutupan kampus induk UUM bermula 5 Oktober dilanjutkan sehingga Khamis ini.

Katanya, kakitangan UUM juga diminta terus bekerja dari rumah kecuali kakitangan yang terbabit dalam perkhidmatan perlu dan harus mendapat kebenaran Pendaftar.

"Langkah ini diambil setelah mengambil kira keselamatan dan kebajikan staf dan penuntut serta masyarakat sekitar. Ini bagi mengekang penularan Covid-19 di dalam kampus dan aktiviti disinfeksi secara menyeluruh dapat terus dilaksanakan di seluruh kampus khususnya di kawasan terlibat," katanya.

Katanya, sepanjang tempoh penutupan, sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) akan diteruskan seperti biasa secara dalam talian yang akan bermula esok.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 11:41 PM