Roslina  bersama  Mohammad Iman yang menghidap sakit paru-paru kronik  di rumah mereka di Kampung Chenderung Kubu, Tumpat.
Roslina bersama Mohammad Iman yang menghidap sakit paru-paru kronik di rumah mereka di Kampung Chenderung Kubu, Tumpat.

Tumpat: Jika boleh, dia mahu menjadi pengganti dan menanggung segala penderitaan ditanggung anak tunggalnya yang menghidap penyakit paru-paru kronik.

Roslina Hassan, 38, berkata dia tidak sanggup melihat anaknya Mohamad Iman Mukmin Zulkifli, 2, terlantar dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan 24 jam disebabkan paru-parunya tidak mampu berfungsi dengan baik.

Menurutnya, keadaan mereka bertambah menderita apabila dirinya yang tidak bekerja digantung tidak bertali oleh suaminya berusia 41 tahun sejak Disember tahun lalu.

Katanya, dia sudah puas menangis sendirian apabila mengenang nasib dirinya dan Mohamad Iman Mukmin, apatah lagi selepas ditinggalkan begitu sahaja oleh lelaki yang diharap menjadi tulang belakang keluarga.

“Sudahlah Iman berpenyakit begini, suami pula tiba-tiba tinggalkan begitu sahaja tanpa khabar berita. Kali terakhir khabarnya saya ketahui daripada saudara yang memberitahu dia (suami) bekerja dengan peniaga sayur di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Tunjong, Kota Bharu sekitar awal Disember lalu.

“Ketika itu saya menemani Iman di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu. Saya menghubunginya selepas tiga hari dia tidak melawat Iman, namun panggilan saya langsung tidak dijawab.

“Sedihnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Saya lebih sedih apabila mengenangkan keadaan kesihatan Iman kerana penyakit yang tidak pasti dapat sembuh atau tidak dan penerimaan dia nanti apabila bapanya tiada,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chenderung Kubu, di sini, semalam.

Menurutnya, fokusnya ketika ini adalah mencari pekerjaan yang sesuai supaya dapat menyara kehidupan mereka berdua walaupun menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan bagi mengurangkan beban yang ditanggung.

Katanya, pada masa ini dia tinggal bersama bapanya Hassan Ali, 72, dan menguruskan Mohamad Iman Mukmin sepenuhnya kerana kanak-kanak itu kerap tidak sihat.

“Sehingga kini, sudah tujuh kali Iman dimasukkan ke HRPZ II disebabkan pelbagai masalah berpunca daripada paru-parunya, selain dia juga menghidap Sindrom Down sejak dilahirkan.

“Kini hospital menjadi rumah kedua kami kerana dia (Iman) kerap ditahan di wad. Tempoh paling lama buat Iman di wad adalah selama 10 bulan bermula Ogos tahun lalu,” katanya yang amat mengalu-alukan bantuan kewangan daripada orang ramai yang boleh disalurkan ke akaun Bank Islam 03027020889734 atas namanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 2:20 PM