Roslan melihat keadaan bapanya yang perlukan jagaan rapi.
Roslan melihat keadaan bapanya yang perlukan jagaan rapi.

Ledang: “Melihat kesihatan bapa terjejas teruk, saya mengambil keputusan berada di sisinya sepanjang masa,” kata Roslan Ramli, 32, yang berhenti kerja sejak tahun lalu bagi menjaga bapanya di rumah di Kesang Batu 6 di sini.

Ramli Zainal, 58, menghidap kanser paru-paru tahap empat dan kini hanya terlantar di katil serta tidak mampu menguruskan dirinya sendiri menyebabkan Roslan terpaksa berhenti kerja di kilang perabot kerana menjaga bapanya.

“Saya tinggal bersebelahan rumah adik bongsu, Rosli, 23, yang bekerja sebagai penebar roti canai dan bapa tinggal bersamanya. Bagaimanapun, sejak kesihatannya terjejas akibat kanser paru-paru, saya mengambil keputusan berhenti kerja bagi menjaganya,” katanya yang mempunyai dua anak berusia lapan dan 12 tahun.

Menurutnya, walaupun sedih kerana terpaksa berhenti kerja namun dia perlu membuat pengorbanan bagi menjaga bapanya yang terlantar itu.

Katanya, kesihatan bapanya yang semakin teruk dengan berat badan turun mendadak daripada 70 kilogram kepada 34 kilogram menyebabkannya sebak.

“Saya tahu keluarga mempunyai keperluan namun saya sedih melihat bapa menyebabkan saya nekad berhenti kerja untuk menjaga dan menguruskan pelbagai keperluannya termasuk makan, mandi, buang air besar dan air kecil.

“Bapa banyak berkorban membesarkan kami dan saya rasa inilah peluang saya membalas pengorbanannya,” katanya.

Menurutnya, dia kini hanya bergantung dengan pendapatan isterinya, Zamzariah Ahmad, 32, yang bekerja sebagai jurujual makanan untuk keperluan harian serta persekolahan dua anak lelakinya.

Katanya, tahun lalu doktor mengesyaki bapanya menghidap kanser ketika menjalani pemeriksaan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar berikutan berat badannya turun mendadak.

“Doktor meminta kebenaran untuk menebuk dada bapa dan mengambil contoh tisu paru-paru untuk ujian kanser. Bagaimanapun, kami sekeluarga tidak membenarkannya selepas mengetahui risiko sampingannya.

“Bagaimanapun, tidak lama kemudian bapa dimasukkan ke hospital dan doktor mengesahkan dia menghidap kanser paru-paru tahap empat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 6:17 AM