Khairy Jamaluddin.
Khairy Jamaluddin.
Amir Abd Hamid dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: "Kalau tanya saya, tentunya saya (yang) dah duduk di kerusi panas Menteri Kesihatan ini selama sebulan lebih dan kalau saya tidak sebut bahawa kesihatan mental saya terkesan, saya rasa saya tipulah," kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, tekanan kerja itu adalah sebahagian daripada kesihatan mental tetapi setiap individu perlu mengetahui bagaimana mahu menangani tekanan berkenaan.

Khairy berkata demikian dalam majlis pelancaran Pelan Strategik Kesihatan Mental (2020-2025) dan kempen media Let's Talk Minda Sihat menerusi aplikasi Zoom dan Facebook (FB) KKM, hari ini, yang diadakan sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2021.

Jawapan spontan berkenaan keluar apabila hos Shafiq Chulan bertanyakan soalan kepada Khairy, 'adakah anda okay?' sewaktu mukadimah program itu.

Khairy berkata, soalan mudah seperti itu yang bertanyakan keadaan kenalan adalah asas bagi membantu menyemaikan kesihatan mental.

"Syafiq, itu soalan yang sangat-sangat penting yang kita sepatutnya tanya semua kenalan kita. Ini adalah saya rasa asas kepada kesihatan mental yang lebih baik untuk semua.

"Soalan yang mudah. Adakah anda okay. Bagaimana keadaan anda? Ia bukan saja-saja tetapi menunjukkan kita mahu mendengar," katanya.

Shafiq juga mengorek lagi rahsia bagaimana Khairy boleh menampilkan dirinya di skrin yang selalunya dalam keadaan segar dan yakin serta positif.

Khairy berkata, individu mempunyai peranan di khalayak mestilah menunjukkan serta menonjolkan imej yang yakin.

"Namun demikian bukanlah kami bebas daripada sebarang tekanan atau pun merasa cemas dan saya rasa sangat penting untuk kita ada jalan (atasi tekanan).

"Tidak kiralah, ahli politik atau pun sesiapa, perlu untuk kita meluahkan perasaan kita. Sekiranya kita tak dapat untuk mengawal emosi dan juga perasaan kita, perlulah berjumpa dengan pakar profesional dan tiada salahnya dengan tindakan itu," katanya.

Khairy berkata, baginya secara peribadi selain pendekatan kerohanian, beliau turut memastikan pada setiap hari memperuntukkan masa membebaskan dirinya daripada semua tekanan termasuk berkaitan kerja.

"Pada setiap hari kena unplug daripada semua tekanan mental dan perkara berkaitan kerja yang sedang kita fikirkan, bukan hanya unplug peranti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 4:34 PM