KHAIRY Jamaluddin Abu Bakar. FOTO arkib NSTP
KHAIRY Jamaluddin Abu Bakar. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia akan melakukan lebih banyak pelaburan dalam usaha mempertingkat perkhidmatan digitalisasi kesihatan mental dengan penggunaan teknologi untuk memperluas jangkauannya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, untuk memastikan penjagaan kesihatan mental sentiasa ada dan boleh diakses, kaedah baharu penyampaian perkhidmatan dalam bidang itu perlu dibangunkan.

"Selain bantuan ekonomi, rakyat perlu diberikan sokongan kesihatan mental yang secukupnya semasa pandemik," katanya dalam rakaman ucaptama sempena pelancaran Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) 'The State of World's Children 2021; On My Mind: Promoting, Protecting and Caring for Children's Mental Health' yang disiarkan secara langsung di laman Facebook UNICEF Malaysia dan Bernama TV, hari ini.

Beliau berkata, dari Januari hingga Julai tahun ini, data Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan terdapat 638 insiden bunuh diri berbanding 262 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

"Lebih membimbangkan ialah peningkatan berganda kematian akibat bunuh diri dalam kalangan remaja berusia lingkungan 15 hingga 18 tahun dari 2019 hingga 2020," katanya.

Khairy berkata, kesedaran mengenai kesihatan mental bermula dari rumah dengan ibu bapa dan penjaga memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran selamat serta menyokong anak mereka.

Beliau berkata, keluarga perlu mengetahui bahawa mereka tidak sendirian dan di peringkat tempatan, kesedaran mengenai kesihatan mental serta advokasi perlu diterjemah ke dalam bentuk tindakan segera, memperkasa komuniti dengan sokongan psikososial dan aktiviti kemasyarakatan.

Katanya, pemimpin komuniti boleh dilatih untuk memberi bantuan dan merujuk kes kepada agensi yang relevan untuk mendapatkan sokongan profesional.

Khairy juga berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyokong usaha memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang menganggap percubaan membunuh diri sebagai satu jenayah.

"Penyahjenayahan bunuh diri akan mengurangkan stigma dan menggalakkan golongan yang terjejas untuk tampil mendapatkan pertolongan bagi menangani isu kesihatan mental mereka. Saya harap langkah menyahjenayahkan bunuh diri akan segera menjadi realiti," katanya.

Menurutnya, KKM serta Kementerian Belia dan Sukan melakukan pelbagai usaha bagi menangani isu kesihatan mental yang meliputi program kaunseling, kempen kesedaran kesihatan mental serta sesi libat urus masyarakat.

Katanya, pertubuhan bukan kerajaan dan organisasi masyarakat sivil turut berperanan menyebarkan kesedaran berhubung kepentingan kesihatan mental yang mempromosi pendekatan seluruh masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 6:00 PM