Murni Wan Omar


WUJUD konflik kepentingan apabila peguam, Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), turut mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan keluarga anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata demikian dalam kenyataannya sebentar tadi bagi menjelaskan kekeliruan dan spekulasi berhubung penarikan Syazlin daripada mewakili ketiga-tiga pihak itu.

Menurutnya, Syazlin menerima pelantikan mewakili KPKT dan JBPM di dalam prosiding inkues ketika beliau sudah dilantik menjadi peguam mewakili ahli keluarga Allahyarham Muhamad Adib.

“Beliau sepatutnya menolak perlantikan kerajaan atas beberapa sebab. KPKT dan JBPM sebagaimana kementerian dan jabatan kerajaan lain hendaklah mendapat nasihat undang-undang daripada Jabatan Peguam Negara dan peguam luar mestilah dilantik oleh Peguam Negara atau Pendakwa Raya.

“Beliau juga bertindak mewakili ketiga-tiga pihak yang mempunyai kepentingan langsung apabila kepentingan pihak-pihak ini mungkin bertentangan dan adalah suatu perkara yang tidak boleh diterima,” katanya.

Tommy berkata, pegawainya yang melaksanakan tugas mereka membantu Koroner memaklumkan kepadanya bahawa Syazlin mengambil peranan aktif dalam inkues ini.

“Malah sering mengambil kedudukan yang bercanggah daripada kedudukan yang diambil oleh Timbalan Pendakwa Raya. Perkara ini adalah memalukan beliau dalam kapasitinya sebagai peguam bagi KPKT.

“Suami Syazlin adalah Setiausaha Akhbar kepada Menteri KPKT. Atas sebab-sebab ini saya memohon supaya pelantikan Syazlin mewakili KPKT dan JPBM ditarik balik,” katanya.

Tommy berkata, beliau terkejut apabila mendapat berita bahawa Syazlin turut menarik diri daripada turut mewakili keluarga Allahyarham Adib.

“Keputusan itu beliau buat secara sukarela tanpa sebarang pengaruh daripada jabatan ini. Semalam sebelum prosiding inkues bermula, Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin sudah bercakap secara peribadi dengan Syazlin.

“Syazlin sudah dimaklumkan bahawa jabatan ini tidak mempunyai sebarang isu jika beliau mahu mewakili keluarga Allahyarham Adib supaya prosiding inkues boleh diteruskan dan Prof Dr Shahrom Abd Wahid boleh dipanggil semula memberi keterangan,” katanya.

Bagaimanapun, Tommy berkata, Syazliln tetap dengan keputusannya untuk menarik diri.

“Prof Shahrom adalah saksi pakar yang membantu Koroner dalam inkues ini. Peranannya di dalam inkues tidak terjejas dengan penarikan Syazlin sebagai peguam.

“Faten Hadni juga sudah memaklumkan kepada Koroner bahawa jabatan ini bersedia untuk membantu bagi mengeluarkan sepina, memanggil Prof Shahrom untuk memberi keterangan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 5:53 PM