FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Kementerian Pengangkutan (MOT) sudah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan (MOF) dalam usaha menangani masalah lesen memandu dalam kalangan penunggang p-hailing.

Menterinya Datuk Sri Dr Wee Ka Siong berkata, ia bagi memudahkan golongan muda, terutama golongan B40 berikutan peratusan kesalahan tiada lesen memandu yang tinggi dikeluarkan kepada mereka.

"Kita lihat golongan muda yang baru sahaja selesai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mencari pekerjaan dan ada antara mereka mahu ke institut memandu untuk belajar memandu dan kita mahu wujudkan satu kaedah membantu mereka.

"Jadi itu dalam perancangan dan percaturan kita dan ia sudah dibangkitkan bersama MOF dalam peruntukan belanjawan 2022," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Bakul Makanan kepada penghantar makanan P-Hailing di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemandu terutamanya mereka daripada golongan B-40 yang berdepan kes tertentu membabitkan tunggakan saman yang banyak boleh mendapatkan potongan bayaran melalui MOT.

"MOT juga akan mengenakan tindakan tegas kepada kepada penunggang dan syarikat pengendali p-hailing yang melanggar undang-undang terutama membabitkan lesen memandu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 3:23 PM