SOFFIAN (tengah) ketika mengulas mengenai kebakaran membabitkan wanita OKU di Jalan Krian, Georgetown, hari ini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
SOFFIAN (tengah) ketika mengulas mengenai kebakaran membabitkan wanita OKU di Jalan Krian, Georgetown, hari ini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kematian wanita berstatus orang kurang upaya (OKU) dalam kebakaran premis dua tingkat di Jalan Krian, di sini, hari ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis akan meneruskan siasatan lanjut berikutan laporan pihak bomba mengenai bau minyak tanah di tempat kejadian.

"Susulan itu, Unit Forensik PDRM bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan meneruskan siasatan lanjut sekiranya terdapat unsur jenayah.

"Siasatan akan diteruskan esok bagi mengenal pasti punca kejadian," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam ini.

Hadir sama, Penolong Pengarah Operasi JBPM negeri, Hafiz Hafizal Timaradin dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, A'azelan Hassan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang wanita OKU ditemukan mati di atas katil dengan kesan melecur dalam kebakaran di premis dua tingkat itu, hari ini.

JBPM bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 3.54 petang dan mengambil masa selama 20 minit bagi memadamkan kebakaran.

Soffian berkata, premis dua tingkat itu menempatkan restoran dan pusat hiburan di aras bawah manakala di bahagian atas pula dijadikan bilik penempatan.

Katanya, majikan mangsa mendakwa wanita OKU yang berusia 44 tahun dan berasal dari Sabah itu sudah tiga tahun bekerja di pusat hiburan berkenaan.

"Mangsa tidak bekerja susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan premis hiburan tidak dibenarkan beroperasi.

"Berdasarkan laporan bomba, mangsa ditemukan berada di atas katil dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang tiba di lokasi.

"Mangsa mungkin mati akibat terhidu asap namun identiti dan punca sebenar akan diketahui selepas proses bedah siasat dijalankan esok dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai SDR," katanya.

Berita berkaitan

'Wanita OKU maut dalam kebakaran'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 8:43 PM