KTMB menggandakan kapasiti tempat duduk bagi laluan Tumpat-Dabong, menggunakan set berkembar DMU susulan kenaikan statistik penumpang sebanyak 300 peratus sejak bulan lalu boleh memuatkan 416 penumpang berbanding hanya 208 tempat duduk sahaja yang mana mula beroperasi 8 Oktober ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
KTMB menggandakan kapasiti tempat duduk bagi laluan Tumpat-Dabong, menggunakan set berkembar DMU susulan kenaikan statistik penumpang sebanyak 300 peratus sejak bulan lalu boleh memuatkan 416 penumpang berbanding hanya 208 tempat duduk sahaja yang mana mula beroperasi 8 Oktober ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menggandakan kapasiti tempat duduk Tren Diesel Multiple Unit (DMU) bagi laluan Tumpat-Dabong susulan kenaikan jumlah penumpang sebanyak 300 peratus sejak bulan lalu

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, set berkembar tren DMU itu boleh memuatkan 416 penumpang berbanding hanya 208 tempat duduk sahaja disediakan sejak beroperasi 8 Oktober ini.

Katanya, set khas terbabit digunakan bagi perkhidmatan Shuttel Timuran nombor 55 dan 56 untuk laluan Tumpat-Dabong atau sebaliknya, pada setiap hujung minggu iaitu Jumaat dan Sabtu, serta pada cuti umum.

"Tambahan pula, kawasan di Dabong, Kuala Krai, kini menjadi fenomena membuatkan ramai ingin menaiki kereta api yang menawarkan pengalaman menarik, keselesaan dan keselamatan selain harga tiket yang berpatutan.

"Bagaimanapun, kami ingin mengingatkan orang ramai supaya duduk di tempat mengikut nombor tertera di tiket masing-masing kerana timbul rungutan daripada penumpang yang tidak dapat duduk di tempat mereka, sekali gus menimbulkan pelbagai kesulitan.

"Selain itu, penumpang dinasihatkan untuk membeli tiket dua hala pergi balik serta merancang perjalanan lebih awal untuk mengelak kehabisan tiket," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Rani berkata, KTMB sentiasa komited memastikan setiap tren melalui proses sanitasi secara berkala bagi memastikan keselamatan penumpang ketika menggunakan perkhidmatan itu.

"Penumpang juga dinasihatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selain memastikan lengkap dua dos vaksinasi Covid-19.

"Selain menunjukkan sijil vaksinasi, mereka perlu memeriksa suhu badan dan mengimbas kod aplikasi MySejahtera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 5:25 PM