GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang bekas pengurus hartanah syarikat minyak dan gas sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan rasuah berhubung kontrak pembinaan stesen minyak di Kelana Jaya tiga tahun lalu.

Len Chia Whey, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Dia didakwa menerima suapan berjumlah RM300,000 daripada pemilik Syarikat Vertex Superieur Sdn Bhd iaitu Mohamad Shamsul Ahmad Kamal, 45, melalui seorang individu bernama Choong Wee Leong, 45, sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan kontrak pembinaan stesen minyak tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di pusat beli-belah Bangsar Village 2, Jalan Telawi, Bangsar Baru di sini antara 3 April dan 29 Ogos 2018 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Azura yang menetapkan 12 November depan sebagai sebutan semula kes, membenarkan Len mengguna pakai ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin yang ditetapkan mahkamah sama sebelum ini dan mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaide manakala tertuduh diwakili peguam Gooi Soon Seng dan Ooi Pen Lyn.

Pada 16 Mac lalu, Len mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas 11 pertuduhan rasuah membabitkan RM2.6 juta bagi mendapatkan subkontrak Perjanjian Reka dan Bina untuk beberapa stesen minyak di Selangor, Melaka serta Johor antara 2018 dan 2019.

Pada 15 Mac 2021, Len dan isterinya Tong Karen, 36, didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 18 pertuduhan menerima rasuah serta melakukan pengubahan wang haram membabitkan RM1.17 juta antara tahun 2018 dan 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 8:13 PM