Farihah Che Husin
Farihah Che Husin
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu bercadang membina Pusat Rehab Pantai Timur yang akan memberi manfaat kepada pencarum dari Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, ketika ini proses perbincangan dengan kerajaan negeri dan beberapa agensi lain sudah dilakukan.

Katanya, pembinaan pusat rawatan itu akan memberi manfaat kepada pencarum dari Pahang, Kelantan dan negeri ini yang memerlukan rawatan terapi perubatan dan pemulihan secara konsisten.

"Buat masa ini, Perkeso sudah mengaktifkan pusat rehab negeri di Permai Inn sejak Jun tahun lalu.

"Pusat yang dilengkapi dengan peralatan canggih menggunakan teknologi robotik itu diawasi 10 kakitangan Perkeso dan yang tercanggih di Asia Tenggara," katanya selepas Program Hari Perkeso Sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Peringkat Negeri, Wisma Perkeso, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir dan Ketua Eksekutif, Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (T-HRDC), Aminuddin Omar.

Pada program itu sebanyak 20 jabatan kerajaan dan agensi kerajaan negeri menerima Surat Penghargaan manakala tiga waris simati menerima Faedah Pencen Penakat.

Dalam perkembangan lain, Farihah berkata, Perkeso Terengganu memperuntukkan sebanyak RM1.3 juta bagi bayaran tuntutan 910 pencarum yang menjalani kuarantin akibat jangkitan Covid-19 menerusi Skim Bencana Kerja bermula Mac hingga September, tahun ini.

Katanya, secara keseluruhan pihaknya menerima 1,300 kes tuntutan kuarantin daripada individu yang layak.

"Daripada jumlah itu sebanyak 70 peratus sudah berjaya diselesaikan, manakala 30 peratus lagi adalah tuntutan baharu.

"Bagi tuntutan baharu, ia sedang dalam proses dan setiap proses mengambil masa tujuh hari bekerja," katanya.

Menurut Farihah, bagi kes kematian akibat Covid-19, pihaknya menerima 30 tuntutan kes layak menerima bayaran faedah membabitkan peruntukan sebanyak RM105,000.

Katanya, bagi kes kematian akibat Covid-19, bayaran kepada waris si mati dibuat menerusi Faedah Pencen Penakat dan nilai bayaran bergantung kepada jumlah caruman yang dibuat si mati.

Beliau berkata, selain bayaran bulanan pencen penakat, waris si mati turut menerima bayaran tetap Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM2,000.

Katanya, sejak Januari hingga Ogos lalu, Perkeso Terengganu sudah membuat bayaran Faedah Pencen Penakat kepada waris si mati sebanyak RM10,083,803 termasuk kes kematian akibat Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 5:42 PM