LOKASI kejadian dua lelaki maut terkena renjatan elektrik. FOTO Cleo Will
LOKASI kejadian dua lelaki maut terkena renjatan elektrik. FOTO Cleo Will
Cleo Will


DUA lelaki meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja memasang tiang elektrik di tepi jalan besar Kampung Kinasaraban,Kundasang, dekat Ranau, semalam.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, Roby Semudin, 32, dan rakan sekerjanya, Ray O Neil Riched, 23, kedua-duanya berasal dari Kampung Kolongon, Bundu Tuhan, Ranau, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, ketika kejadian, mangsa bersama empat rakan bertugas memasang tiang elektrik di tepi jalan besar di kampung berkenaan.

Beliau berkata, kerja memasang tiang menggunakan kren bagi menggantikan tiang elektrik lama.

"Tiga orang ditugaskan untuk mengawal hujung tiang elektrik untuk dimasukkan dalam lubang di dalam tanah. Seorang lagi mengendalikan kren untuk mengangkat tiang terbabit.

"Ketika kren mengangkat tiang, ia tiba-tiba tersentuh kabel elektrik di tiang elektrik lama.

"Tiga mangsa yang memegang hujung tiang terpelanting dipercayai terkena renjatan elektrik.

“Seorang pekerja berusia 23 tahun pengsan dan beberapa minit kemudian dia tersedar sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Kundasang untuk rawatan.

"Dua lagi, Roby dan Ray O Neil tidak sedarkan diri.

"Rakan mereka turut menghantar kedua-dua lelaki terbabit keKlinik Kesihatan Kundasang untuk mendapatkan rawatan.

"Namun, doktor di klinik itu mengesahkan kedua-dua mangsa sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 10:14 PM