Izad Thaqif Hassan


Kulim: Suatu ketika dulu ia berdiri megah sebagai mercu tanda bandar ini dan menjadi tumpuan orang ramai melakukan pelbagai aktiviti termasuk mengabadikan kenangan foto perkahwinan.

Namun, melihatkan keadaan Jam Merdeka Kulim sekarang, ia seolah-olah 'mati' dan terbiar usang tanpa penjagaan sepatutnya untuk mercu tanda yang boleh dianggap sebagai khazanah bersejarah.

Dikenali juga sebagai Menara Jam Kulim, mercu tanda yang menelan kos pembinaan RM40,000 hasil sumbangan daripada penduduk setempat itu menjadi simbolik kepada kemerdekaan negara daripada penjajah.

Detik bersejarah perasmian menara yang dibina dalam tempoh tiga bulan itu disempurnakan Sultan Kedah, Almarhum Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah pada 15 September 1957, iaitu selepas dua minggu kemerdekaan Tanah Melayu.

Sejak itu, menara terbabit menjadi tumpuan tidak hanya kepada penduduk setempat malah orang luar yang datang ke lokasi berkenaan untuk melihat dengan lebih dekat mercu tanda itu.

MOHD Nor Affandi melihat kolam air pancut berhampiran Menara Jam Kulim yang berlumut kerana tidak diselenggara dan dijaga dengan baik. FOTO Izad Thaqif Hassan
MOHD Nor Affandi melihat kolam air pancut berhampiran Menara Jam Kulim yang berlumut kerana tidak diselenggara dan dijaga dengan baik. FOTO Izad Thaqif Hassan

Sedikit demi sedikit dengan mengikut peredaran zaman, kawasan sekeliling menara jam itu turut dibina taman, kolam air pancut dan dihias dengan lampu yang mengindahkan pandangan ketika malam.

Bagaimanapun, menara itu kian dilupakan dan hanya dibiar usang sejak hampir beberapa tahun lalu tanpa ada usaha membaikpulih bagi memelihara khazanah itu.

Penduduk, Mohd Nor Affandi Harun, 46, berkata, dia amat berharap menara jam terbabit dapat dibaik pulih kerana ia banyak meninggalkan nostalgia bukan saja kepada dirinya, malah penduduk daerah itu.

"Saya tinggal di sini dan setiap hari menggunakan jalan utama sekali gus melihat menara jam terbabit yang satu ketika dulu menjadi tumpuan orang ramai.

"Kawasan sekitar menara jam yang turut dibina taman, kolam air pancut, gerai serta pelbagai aktiviti riadah dilakukan pengunjung memang menghidupkan suasana sekitar kawasan terbabit ketika itu," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun kawasan tumpuan itu mula suram sejak lima tahun lalu kerana ia tidak dijaga malah keadaan menara jam kelihatan usang serta kolam dipenuhi sampah dan berlumut.

"Disebabkan itu, orang ramai kurang berkunjung hingga membuatkan peniaga di beberapa gerai sekitar menara terbabit terpaksa menghentikan operasi.

"Keadaan bertambah buruk apabila pandemik Covid-19 melanda membuatkan kawasan terbabit seolah-olah tidak mempunyai 'nyawa'," katanya.

Mohd Nor Affandi berkata, dia kesal apabila melihat cat yang sudah usang, huruf pudar, pintu dipecah dan jam itu sendiri yang sudah tidak berfungsi.

"Malah, kolam air pancut yang dibina juga sangat kotor dan jijik dengan dipenuhi lumut yang jika dibiarkan mungkin akan mengundang masalah lain.

"Bagaimanapun, pintu sudah diganti baru-baru ini dan ia sekurang-kurangnya dapat mengelak orang ramai masuk untuk mencuri atau merosakkan peralatan dalam menara," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kulim, Abdul Bari Abdullah memaklumkan masalah berkaitan Jam Merdeka Kulim akan diselesaikan secepat mungkin dan memang termasuk dalam senarai perhatian pihaknya untuk dibaik pulih.

"Dalam mesyuarat bersama Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) baru-baru ini, memang kita ada berbincang untuk menyelesaikan masalah berkaitan menara jam terbabit.

"Buat masa sekarang memang ada tindakan daripada MPKK yang akan membaikpulih semula jam terbabit supaya berfungsi seperti sebelum ini dan ia akan dilakukan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 10:43 AM