MOHD Kamarudin. FOTO BERNAMA
MOHD Kamarudin. FOTO BERNAMA
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis mengesan beberapa saksi bagi membantu siasatan berhubung kes pertukaran hak milik lot tanah di tengah ibu kota bernilai lebih RM7 juta milik dua beradik wanita.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, siasatan yang dilakukan ke atas kes berkenaan membawa kepada beberapa tangkapan.

"Kami sedang melakukan siasatan lanjut bagi mendapatkan pengesahan daripada Pejabat Tanah berkaitan dokumen-dokumen digunakan bagi transaksi (pemindahan hak milik) berkenaan.

"Pada masa sama, kami juga sedang mengesan beberapa saksi lagi untuk menyiasat bagaimana penipuan itu berlaku," katanya pada sidang media di Balai Polis Jinjang, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan dua beradik berusia 50-an itu terkejut apabila mendapati tanah milik mereka berpindah milik kepada sebuah syarikat tanpa pengetahuan mereka.

Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi pada 12 Ogos lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis menahan lima individu termasuk peguam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penipuan dalam urusan pindah milik tanah berkenaan.

Pembeli bagi lot tanah itu, syarikat RMS mendakwa membelinya mengikut peraturan dan lunas undang-undang yang ditetapkan.

Sementara itu, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memaklumkan tiada sebarang kesalahan berkaitan prosedur pertukaran hak milik lot tanah berkenaan sebaliknya mereka sudah menandatangani borang untuk penyerahan pindah milik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 September 2021 @ 6:27 PM