Mayat lelaki yang ditemukan terapung kira-kira tiga batu nautika dari Pulau Rimau, Batu Maung di Balik Pulau semalam. Foto Ihsan PDRM
Mayat lelaki yang ditemukan terapung kira-kira tiga batu nautika dari Pulau Rimau, Batu Maung di Balik Pulau semalam. Foto Ihsan PDRM
Zuhainy Zulkiffli

Balik Pulau: Mayat yang ditemukan lengkap berpakaian sukan dan terapung kira-kira tiga batu nautika dari Pulau Rimau, Batu Maung di sini, semalam dianggarkan berusia lingkungan 30-an.

Mangsa yang dipercayai seorang lelaki itu juga dipercayai meninggal dunia lebih daripada 24 jam sebelum mayatnya ditemukan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, mayat berkenaan ditemukan oleh orang awam sebelum menghubungi polis pada 3.20 petang.

Menurutnya, didapati mayat yang ditemukan itu dalam keadaan tertiarap itu juga sudah kembung dan mengeras.

"Mangsa juga lengkap berpakaian dan tidak berkasut, manakala pada siku tangan kiri disangkut dengan selipar hitam.

"Tidak ada sebarang pengenalan diri ditemukan pada mayat itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut Kamarul Rizal, mayat itu sudah dibawa ke Hospital Balik Pulau bagi tujuan bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang ada kehilangan anggota keluarga atau kenalan diminta menghubungi pegawai penyiasat di talian 013-5740574 bagi membuat pengecaman.

Terdahulu Pusat Operasi (PUSOP) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang melakukan pencarian mayat berkenaan selepas menerima maklumat daripada nelayan pantai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 7:59 PM