GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kesilapan seorang guru tuisyen mendedahkan maklumat akaun bank miliknya serta Kod Pengesahan Transaksi (TAC) kepada individu menyamar sebagai pegawai bank mengundang padah apabila dia kerugian RM57,850.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada seorang lelaki yang bekerja sebagai guru sebuah pusat tuisyen pada 24 September lalu.

Katanya, mangsa berusia 57 tahun itu menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan pengesahan mengenai pembelian melalui platform e-dagang berjumlah RM3,800 pada 22 September lalu.

"Mangsa menafikan membuat pembelian itu dan menghubungi individu kononnya dikatakan sebagai pegawai bank melalui satu nombor telefon yang diberikan dalam mesej berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Mahidisham berkata, pegawai bank yang dihubungi mangsa kemudian meminta pengadu untuk mendedahkan maklumat akaun bank dan TAC kepadanya.

"Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa menuruti arahan daripada pegawai bank terbabit yang kononnya mahu maklumat berkenaan untuk tujuan siasatan lanjut oleh pihak bank.

"Pengadu membuat laporan pada 24 September lalu di Balai Polis Sentul selepas menyedari dirinya ditipu apabila terdapat transaksi pindahan wang dari akaun miliknya kepada tiga akaun pihak ketiga dan pindahan kepada akaun e-wallet Touch n Go berjumlah RM57,850," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa membuat semakan terlebih dahulu apabila menerima pesanan ringkas daripada pihak bank.

"Tindakan memberikan maklumat perbankan dan TAC kepada pihak ketiga akan menyebabkan akaun perbankan terdedah kepada penggunaan tidak sah.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan jenayah atau aktiviti mencurigakan diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 6:22 PM