REEZAL (kiri) dan  Mas Ermieyati melancarkan Skim Pembiayaan Industri Sukan di Kementerian Belia dan Sukan hari ini. FOTO Bernama
REEZAL (kiri) dan Mas Ermieyati melancarkan Skim Pembiayaan Industri Sukan di Kementerian Belia dan Sukan hari ini. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Putrajaya: Pemain industri sukan yang terjejas susulan pandemik Covid-19 boleh menghela nafas lega apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melancarkan Skim Pembiayaan Industri Sukan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, skim berkenaan dijangka dapat memberi manfaat kepada 4,307 usahawan industri sukan dan rekreasi membabitkan pengusaha, operator fasiliti sukan dan premis yang berdaftar di bawah sistem 'Covid-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0) yang dibangunkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Skim yang dilaksanakan bersama Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) dan Bank Rakyat itu mampu mewujudkan sinergi dalam aspek pembiayaan mudah bagi pengusaha dan operator fasiliti sukan pasca Covid-19," katanya ketika majlis pelancaran skim berkenaan hari ini.

Ujar Reezal Merican, skim berkenaan dapat membantu pemain industri yang terjejas untuk bangkit semula seterusnya memperkukuhkan semula perniagaan selaras dengan penerapan model norma baharu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) sektor sukan dan rekreasi di bawah pengurusan pandemik Covid-19.

Menerusi skim berkenaan, dana sebanyak RM10 juta disalurkan kepada TEKUN Nasional dan RM10 juta kepada Bank Rakyat bagi membantu pengusaha industri sukan di negara ini khususnya yang terjejas teruk disebabkan pandemik Covid-19.

Pemain dan usahawan industri sukan boleh membuat permohonan pembiayaan di antara jumlah minimum RM1,000 sehingga maksimum RM500,000 berdasarkan syarat-syarat ditetapkan.

Skim Pembiayaan Industri Sukan melalui TEKUN Nasional adalah bagi usahawan yang mempunyai modal berbayar tidak melebihi RM300,000 sementara Bank Rakyat pula bagi usahawan yang mempunyai modal berbayar melebihi RM300,000.

KBS akan menyediakan kaunter khas TEKUN dan Bank Rakyat di Menara KBS bagi sebarang pertanyaan serta menerima permohonan daripada para pemain industri.

Bagi sebarang maklumat lanjut, syarat dan cara permohonan skim itu dapat diakses melalui pautan www.tekun.gov.my serta www.irakyat.com.my.

Turut hadir pada pelancaran skim itu ialah Timbalan Menteri MEDAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 6:13 PM