BERNAMA

Shah Alam: Naib Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Wan Indera Putra Ahmad menghembuskan nafas terakhir di kediamannya, dekat sini, pada jam 5.30 pagi tadi kerana komplikasi jantung yang dialami sejak empat tahun lalu.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO bahagian berkenaan, Mohd Fahmy Zakariah berkata Allahyarham, 49, meninggalkan seorang isteri, Hawa Omar, 63, serta seorang anak, Wan Natasha Farhana, 17.

Mohd Fahmy berkata jenazah Allahyarham dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, pagi tadi untuk diperiksa.

"Jenazah kemudiannya dimandi, dikafan sebelum disembahyangkan di Surau Al Abrar Denai Alam," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pusara Aman Kampung Melayu Subang sebelum waktu Asar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 7:21 PM