Datuk Saarani Mohamad
Datuk Saarani Mohamad
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Kerajaan negeri akan mempertimbangkan semula keputusan menjual Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar di Teluk Intan secara tender terbuka untuk laluan pembangunan projek komersial dan bangunan bercampur.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam masa terdekat melalui mesyuarat EXCO kerajaan negeri, Rabu ini.

"Saya akan bawa balik perkara ini dalam mesyuarat EXCO pada hari Rabu untuk kita lihat kembali walaupun saya rasa itu adalah keputusan EXCO yang dibuat tahun lalu.

"Tapi kita akan tengok semula selepas ada beberapa bantahan serta pandangan termasuk melalui laporan akhbar yang memaklumkan ada beberapa lagi kawasan bersejarah yang perlu dipelihara.

"Saya sudah maklumkan kepada Datuk Nolee (Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi- EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri) dan akan bincang semula perkara ini dalam mesyuarat nanti," katanya kepada pemberita ketika meninjau lokasi insiden kegagalan cerun di Seksyen 43.9 Laluan Persekutuan Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini, hari ini.

Hadir sama EXCO Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Terdahulu sebuah akhbar kelmarin melaporkan Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar yang dibuka untuk jualan secara tender terbuka mengejutkan pelbagai pihak kerana ia dianggap sebagai warisan sejarah Kesultanan Perak dan wajar dikekalkan dan dipulihara.

Istana itu bersama kawasan seluas kira-kira dua hektar ditender untuk pembangunan projek komersial dan bangunan bercampur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 2:56 PM