Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (Mosti) akan melakukan rundingan dengan kerajaan Arab Saudi berhubung isu pengiktirafan vaksin membabitkan jemaah haji.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pihaknya percaya isu berkenaan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

"Tentang pengiktirafan suntikan vaksin, Mosti akan berunding dengan kerajaan Arab Saudi untuk menyelesaikan isu yang berbangkit.

"Insya-Allah dalam masa terdekat, kerajaan Arab Saudi akan menerima semua vaksin yang diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ini kerana semua vaksin yang dibekalkan kepada Malaysia diiktiraf oleh WHO," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir Majlis Penyerahan Sumbangan Inspirasi Qaseh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), di Kampung Sering, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, kesepakatan perlu ada dalam menentukan dasar imigresen susulan kepelbagaian penggunaan vaksin Covid-19 di seluruh dunia ketika ini.

Sebelum ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, dilaporkan berkata, ia perlu bagi mengelakkan kekeliruan apabila timbul isu pengiktirafan vaksin tertentu di negara seperti Arab Saudi, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah (EU).

Ahmad Marzuk ketika hadir pada Majlis Penyerahan Sumbangan Inspirasi Qaseh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia ( YaPEIM), di Kampung Sering. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Ahmad Marzuk ketika hadir pada Majlis Penyerahan Sumbangan Inspirasi Qaseh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia ( YaPEIM), di Kampung Sering. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Beliau berkata, setakat ini semua pihak termasuk Malaysia yang menggunakan pelbagai keluaran vaksin, masih belum mengetahui dasar imigresen sebahagian besar daripada negara di dunia kerana ia belum dimuktamadkan.

Arab Saudi sebelum ini dilaporkan menetapkan hanya jemaah yang menerima vaksin Pfizer dan AstraZeneca dibenarkan menunaikan ibadah haji.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, untuk jemaah haji yang tidak dapat menunaikan ibadah haji tahun ini disebabkan pandemik Covid-19, pihaknya sudah memaklumkan perkara itu lebih awal kepada mereka.

"Alhamdulillah semua jemaah menerima berita itu dengan berlapang dada dan pada masa sama kita memberi semangat serta motivasi kepada mereka.

"Apa pun mereka tetap mendapat ganjaran pahala walaupun tidak dapat mengerjakan ibadah haji," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 3:20 PM