PASUKAN bomba menyelamatkan semua mangsa termasuk tiga kanak-kanak berusia 3 hingga 9 tahun. FOTO ihsan bomba
PASUKAN bomba menyelamatkan semua mangsa termasuk tiga kanak-kanak berusia 3 hingga 9 tahun. FOTO ihsan bomba
Juwan Riduan


Labuan: Aktiviti riadah sembilan individu termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun bertukar cemas apabila mereka dilaporkan tersesat di Marinding Trail, di sini, malam tadi.

Seorang daripada ahli kumpulan berkenaan turut mengalami kecederaan di kaki sehingga tidak boleh berjalan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan berkata, semua mangsa berusia antara 3 hingga 36 tahun membabitkan enam kanak-kanak, dua lelaki dan seorang wanita dewasa.

Katanya, kumpulan terbabit menyedari tersesat selepas gagal menemui jalan keluar kira-kira sejam perjalanan menuruni bukit berkenaan.

"Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 6.34 petang daripada salah seorang mangsa yang meminta bantuan.

"Bertindak atas maklumat, seramai lapan anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labuan dan BBP Layangan dikerah bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebaik menemui kumpulan pendaki terbabit, pasukan bomba memberi rawatan awal kepada wanita berusia 27 tahun yang cedera di kaki sebelum dibawa turun menggunakan pengusung.

Katanya, pasukan bomba berdepan cabaran dalam operasi mencari dan menyelamat berikutan hujan lebat sehingga menyebabkan struktur permukaan tanah menjadi licin serta menyukarkan pergerakan.

"Semua mangsa diselamatkan pada jam 8.25 malam dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Labuan bagi mendapatkan rawatan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 11:07 AM