Pasukan menyelamatkan menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian di perairan laut Kiansam, Labuan. FOTO Ihsan Bomba
Pasukan menyelamatkan menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian di perairan laut Kiansam, Labuan. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan


Labuan: Dua lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang ketika keluar memancing di perairan Kiansam, di sini, hari ini.

Mangsa Mohd Shah Nazmin ,19, dan Yasin Omar, 20, keluar memancing jam 6 petang semalam dan hanya bot dinaiki mereka ditemukan terapung berdekatan jeti Kiansam.

Namun kedua-dua mangsa tidak pulang dan ahli keluarga mereka menghubungi pihak bomba bagi bantuan mencari dan menyelamat (SAR).

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.18 pagi.

Katanya, sepasukan bomba bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Layangan digerakkan ke tempat kejadian.

"Kejadian membabitkan dua mangsa lelaki telah keluar memancing sejak petang semalam dengan menaiki sampan warna putih.

"Operasi SAR sedang dijalankan dan setakat ini kedua-dua mangsa belum ditemui," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Operasi SAR turut dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 2:52 PM