Zikril  (dua dari kanan) melihat kit ujian kendiri Covid-19 yang dijual di sebuah farmasi di Sekinchan. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Zikril (dua dari kanan) melihat kit ujian kendiri Covid-19 yang dijual di sebuah farmasi di Sekinchan. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


Sekinchan: Sebanyak 564 premis di negeri ini diperiksa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor sejak pelaksanaan kawalan harga kit ujian kendiri Covid-19 bagi tempoh 5 September lalu sehingga kelmarin.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Mohamad Zikril Azan Abdullah berkata, sektor yang diperiksa membabitkan pengedaran, pemborong dan peruncitan.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada amaran bertulis dan tindakan kes dikeluarkan pihaknya terhadap peniaga atau pemborong sepanjang tempoh itu.

"Dalam tempoh itu, hanya dua aduan diterima membabitkan harga kit ujian kendiri Covid-19 iaitu di daerah Petaling.

"Kami melakukan pemeriksaan dan didapati kadar pematuhan kawalan harga mencapai tahap tertinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau harga kit ujian kendiri Covid-19 di tiga farmasi di sekitar Sekinchan dan Sabak Bernam, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Sabak Bernam, Amri Ismail dan Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Selangor, Aminuddin Muhammad.

Dalam pada itu, Mohamad Zikril Azan berkata, pihaknya mendapati semua farmasi di Selangor mempunyai stok bekalan kit ujian kendiri Covid-19 yang mencukupi.

"Setiap hari, kami akan dapatkan data berkaitan stok bekalan yang mereka (farmasi) ada.

"Alhamdulillah, setakat ini farmasi yang terbabit mempunyai stok bekalan yang mencukupi untuk penduduk di negeri ini," katanya.

Beliau turut memberi amaran dan peringatan kepada mana-mana peniaga di negeri ini termasuk dalam talian supaya tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna dengan mengambil keuntungan tidak munasabah memanipulasi harga ketika permintaan meningkat terhadap kit ujian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 6:28 PM