FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menafikan dakwaan seorang lelaki yang mengatakan dipaksa mendapatkan rawatan Covid-19 sehingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini.

Tampil memberikan penjelasan, Pengarah JKNPP Dr Ma'arof Sudin berkata, pesakit dikenali sebagai Affendy Mohd Yusof berusia 43 tahun itu dimasukkan ke wad ICU HPP selepas disahkan positif Covid-19 Kategori Empat.

Beliau berkata, pemeriksaan awal menunjukkan penurunan tahap oksigen dalam darah pesakit itu sangat membimbangkan.

"Rawatan terapi oksigen dimulakan, namun pemeriksaan lanjut mendapati pesakit semakin kritikal sehingga kadar oksigen dalam darah hanya dapat distabilkan dengan menggunakan mesin bantuan pernafasan atau ventilator.

"Pegawai Perubatan Pakar Rawatan Rapi dan ICU memaklumkan keadaan kritikal ini kepada pesakit serta ahli keluarganya, selain berulang kali menjelaskan risiko yang boleh membahayakan tubuh dan nyawa pesakit sekiranya tidak membenarkan hospital memberikan rawatan terbabit," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, pesakit masih tidak bersetuju dengan rawatan yang disyorkan dan memohon supaya dibenarkan pulang atas risiko sendiri.

"Pihak hospital masih menempatkan pesakit di ICU untuk pemantauan walaupun pesakit enggan menerima rawatan terapi oksigen dan alat bantuan pernafasan memandangkan keadaan pesakit masih kritikal serta berisiko menyebarkan Covid-19 kepada individu lain sekiranya dibenarkan pulang," katanya.

Dalam pada itu, Dr Ma'arof berkata, pihak hospital juga menafikan pesakit tidak diberi makanan ketika di ICU.

"Untuk makluman pesakit di ICU diberi makanan berbentuk cecair seperti susu bagi memudahkan proses penghadaman dan mengelakkan komplikasi.

"Pihak hospital sentiasa prihatin dan akan meneruskan pemantauan terhadap pesakit terbabit serta sentiasa memberi maklum balas berkala kepada keluarga pesakit," katanya.

Media sosial semalam dibanjiri rakaman video dan audio lelaki itu yang mendakwa dia dipaksa mendapatkan rawatan sehingga dimasukkan ke ICU dan mendapatkan bantuan pernafasan.

Pesakit itu meminta dibawa keluar dari hospital berkenaan kerana mendakwa dirinya sihat, tidak seperti yang dimaklumkan petugas perubatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 5:17 PM