GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) merayu Kementerian Pendidikan (KPM) menangguhkan sesi pembukaan sekolah secara bersemuka yang dijadualkan 1 September depan berikutan kes harian Covid-19 masih lagi mencecah lima angka.

Setiausaha Agungnya Harry Tan Huat Hock berkata, NUTP menerima maklum balas daripada ibu bapa dan guru yang tidak berpuas hati dengan cadangan KPM untuk membuka persekolahan 1 September depan.

"NUTP berpendirian adalah tidak wajar sesi persekolahan dibuka ketika kes harian semakin tinggi saban hari.

"Oleh itu, NUTP merayu KPM menangguhkan pembukaan sekolah secara bersemuka berdasarkan beberapa faktor," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Harry berkata, antara sebab utama sesi persekolahan hanya tinggal 10 minggu lagi bermula 1 September sehingga 11 Disember depan.

"Selain itu, kes Covid-19 setiap hari amat tinggi dan mencecah 20,000 kes. Statistik pada hari ini (11 Ogos) sahaja adalah sebanyak 20,780 kes.

"Ramai ibu bapa juga pastinya akan memilih untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah.

"Walaupun kadar vaksinasi dua dos sudah melebihi 30 peratus, tetapi ia tidak menjamin keselamatan nyawa rakyat kerana setiap hari kadar kematian melebihi 100 hingga 300 orang," katanya.

KPM dalam kenyataan pada 17 Julai lalu, memaklumkan sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September ini, manakala pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diteruskan sehingga 31 Ogos.

Keputusan itu selepas mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 serta hasil perbincangan bersama Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

Sehubungan itu, Harry berkata, pihaknya merayu KPM memberi pertimbangan khas demi keselamatan dan kesihatan murid serta warga pendidik dengan menangguhkan pembukaan sekolah sehingga ke waktu yang lebih selamat.

kenyataan sama, beliau turut berharap supaya KPM dapat membantu mengatasi masalah kelajuan internet selain memberi bantuan internet percuma kepada keluarga B40.

"Warga pendidik pula perlu diberi pakej internet yang istimewa dan juga latihan untuk mempertingkatkan kemahiran terutama proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 5:09 PM