GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak mencatatkan kes harian Covid-19 melebihi angka 3,000 buat hari kelapan berturut-turut, dengan sebanyak 5,291 kes dilaporkan, hari ini.

Ia sekali gus menjadikan kumulatif kes di Sarawak adalah sebanyak 156,798 sejak wabak itu dikesan pertama kali pada 13 Mac tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata, jumlah kes harian yang dilaporkan hari ini adalah yang tertinggi dan peningkatan mendadak itu susulan keputusan 28,065 sampel yang diuji.

Beliau berkata, kadar positif adalah 18.8 peratus dan ia meningkat dari purata 14.5 peratus sekali gus menunjukkan penularan wabak sudah berlaku secara meluas dalam komuniti.

Menurutnya, daripada keseluruhan kes itu, 99.9 peratus kes berada pada tahap kategori 1 (tiada gejala) dan kategori 2 (mempunyai gejala yang ringan) ketika dikesan positif.

"Peningkatan kes harian menyebabkan peningkatan aktiviti pengesanan aktif kontak kepada kes di semua bahagian di Sarawak terutama di lokaliti yang mempunyai kluster aktif.

"Bilangan sampel yang tinggi membebankan kapasiti makmal sedia ada sekali gus memanjangkan tempoh masa diperlukan untuk memperolehi keputusan ujian walaupun menerusi penyumberluaran yang dilaksanakan.

"Ini mengakibatkan banyak sampel yang tertunggak sehingga lima hari. Walaupun terdapat tunggakan masa dalam memperolehi keputusan, semua kontak yang berisiko diberi 'Home Surveillance Order' (HSO) bagi mengelakkan penyebaran dalam komuniti," katanya dalam kenyataan, di sini.

Dr Mohamed Sapian berkata, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan bagi menilai situasi Covid-19 untuk menilai langkah-langkah penambahbaikan dijalankan mengikut situasi semasa.

"Penggunaan Rapid Test Kit (RTK) Antigen akan digunakan dengan lebih meluas di seluruh Sarawak bagi mengenal pasti kes positif dengan kadar yang cepat agar tindakan kawalan dapat dilakukan dengan pantas.

"Perancangan strategi mitigasi sedang dirangka dan strategi terperinci akan diumumkan dalam masa terdekat selepas dibincangkan bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 5:10 PM