PRIMULA Beach Hotel
PRIMULA Beach Hotel
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Primula Beach Hotel yang ditutup selama 14 hari berikutan penularan Covid-19 tidak menerima tetamu penginapan, melainkan pekerja syarikat minyak dan gas (O&G) di luar pesisir pantai.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, hotel itu bersama tiga lagi hotel milik kerajaan negeri dan lapan hotel di sekitar daerah ini dijadikan pusat transit untuk pekerja syarikat itu.

Katanya, kesemua pekerja perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebelum dan selepas naik ke pelantar mengikut syarat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

"Terdapat 12 hotel yang dijadikan 'Offshore Transit Centre' yang menempatkan pekerja-pekerja berkenaan dan isu yang berlaku di Primula Beach Hotel tidak menjejaskan sektor pelancongan dan hotel yang baharu dibuka pada 1 September lalu.

"Saya difahamkan penularan berlaku di Primula Beach Hotel dalam kalangan pekerja, menyebabkan satu daripada empat dapur hotel diarahkan tutup oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu (PKDKT) pada 29 Ogos lalu selepas kes pertama dikesan 20 Ogos.

"Berdasarkan penilaian risiko, jangkitan Covid-19 hanya tertumpu di bahagian berkenaan, namun pihak PKDKT mengarahkan penutupan keseluruhan premis bermula semalam selepas mengesan ada penularan di bahagian lain premis," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ariffin berkata, pihaknya tetap memandang serius isu itu dan pemantauan secara berterusan akan dilakukan bagi memastikan semua pemain industri mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19.

Katanya, pihaknya berharap insiden yang berlaku di Primula Beach Hotel tidak berulang selain meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penularan jangkitan Covid-19 yang berlaku ketika ini.

Media semalam melaporkan Primula Beach Hotel ditutup selama 14 hari bermula semalam sehingga 18 September depan susulan penularan Covid-19 di premis berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak dilapor berkata, arahan penutupan itu dikeluarkan oleh PKDKT selepas mengambil kira penilaian risiko susulan daripada kes pertama Covid-19 yang dilaporkan pada 20 Ogos lalu.

Sehingga kini, seramai 29 pekerja hotel berkenaan disahkan positif manakala seramai 109 pekerja menjalani ujian calitan bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 7:52 PM