Ahmad Hasbi


Kuala Pilah: Juruwang sebuah stesen minyak dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah, di sini, hari ini, atas pertuduhan mendera anak mereka yang berusia 16 bulan, dari 3 Ogos hingga 25 Ogos lalu.

Tertuduh, Muhammad Afiq Abdullah, 23, dan isterinya yang berusia 17 tahun mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan dari kedua-dua tertuduh.

Mengikut pertuduhan pasangan itu secara bersama didapati melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan anak lelaki yang berusia setahun empat bulan mengalami kecederaan fizikal di kepala, mata, badan dan tapak kaki.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Felda Bukit Jalor, Ayer Kuning Selatan, Tampin, dari 3 Ogos hingga 25 Ogos 2021.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan kedua-dua tertuduh boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara selama tidak lebih dua puluh tahun atau kedua-duanya.

Majistret menetapkan jaminan RM10,000 terhadap Muhammad Afiq dan RM6,000 terhadap pasangannya dengan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis terdekat dua kali sebulan.

Sebutan semula ditetapkan pada 13 September 2021.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Christhoper Enteri Anak Mawan, manakala kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Muhammad Syafiq Stewart Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 12:51 PM
MUHAMMAD Afiq dan isteri yang berusia 17 tahun (bertudung merah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah atas tuduhan mendera anak mereka. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
MUHAMMAD Afiq dan isteri yang berusia 17 tahun (bertudung merah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah atas tuduhan mendera anak mereka. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin